Krisdayanti dan Mulan Jameela akan angkat sumpah ahli Parlimen Indonesia


Krisdayanti , 44, (gambar) dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili ahli DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI. – Gambar AFP, 30 September, 2019.

DUA artis popular Indonesia, antara 575 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Indonesia bagi sesi atau penggal 2019-2024, esok. 

Dua artis popular itu, Krisdayanti , 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili ahli DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti, artis  yang turut popular di Malaysia itu, bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani, bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya.

Dua menteri Indonesia ketika ini, iaitu Yasonna Laoly (Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang menang bertanding sebagai calon PDI-P, turut melepaskan jawatannya sebagai menteri pada 27 September lepas, untuk dilantik sebagai ahli DPR. 

Manakala Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia  Puan Maharani Nakshatra Kusyala (anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati  Soekarnoputri, dan cucu kepada presiden pertama, Soekarno) juga calon DPI-P, akan mengangkat sumpah sebagai ahli DPR esok, dan akan melepaskan jawatan menterinya.    

Proses angkat sumpah itu akan dilakukan di depan Ketua Mahkamah Agung Prof. Dr. H. M. Hatta Ali, dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadualkan turut hadir pada majlis itu.

Jokowi, yang menang pada pilihan raya Presiden 2019,  dijadual mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia bagi penggal keduanya (2019-2024) pada 20 Oktober ini.

Ketua Biro Hubungan Masyarakat Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Siti Fauziah berkata antara agenda yang dijadual bermula 8 pagi esok itu,  adalah proses mengangkat sumpah  575 ahli DPR,  136 ahli  Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 ahli MPR untuk penggal 2019-2024.

Sementara itu Ketua Bidang Hubungan Masyarakat, Polis  Metro Jaya (Polis Jakarta)  Argo Yuwono berkata sebanyak 20,500 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keamanan di kawasan parlimen Indonesia.

Jalan utama kawasan parlimen itu, iaitu Jalan  Gatot Soebroto, yang juga jalan utama di Kota Jakarta, telah ditutup sejak seminggu lepas berikutan beberapa siri demonstrasi dan rusuhan, menjelangnya angkat sumpah itu.

Beberapa siri demonstrasi berskala kecil  bermula sejak tiga minggu lepas, dan menjadi semakin buruk bermula 24 Sept lepas, apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia, membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana atau RUU KUHP.

Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Jokowi telah mengarahkan penangguhan  undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 Sept lepas, dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang akan mengangkat sumpah esok, untuk proses tindakan selanjutnya. – Bernama, 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen