Lelaki AS dipenjarakan bocor data pesakit HIV Singapura


SEORANG lelaki Amerika Syarikat (AS) yang membocorkan maklumat peribadi ribuan individu yang positif HIV di Singapura, kebanyakannya warga asing, dipenjarakan di AS dua tahun.

Mikhy Farrera Brochez disabitkan bersalah oleh mahkamah Kentucky pada Jun kerana cuba memeras ugut kerajaan Singapura menggunakan data dicuri itu.

Tertuduh berusia 34 tahun itu memperoleh data itu daripada pasangannya, seorang doktor warga Singapura yang juga menolong Brochez melindungi statusnya yang positif HIV untuk mendapatkan permit kerja di republik itu.

Maklumat sulit termasuk nama dan alamat 14,200 individu didiagnosis dengan virus yang menyebabkan Aids itu diletakkan di online.

Kebocoran itu mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pesakit HIV yang sekian lama berdepan prejudis dalam masyarakat konservatif Singapura.

Brochez dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di penjara persekutuan, kata Pejabat Peguam Negara AS di Kentucky.

“Perbuatan defendan sangat serius, menjejaskan ribuan orang di seluruh dunia,” kata Peguam Negara AS Robert M. Duncan Jr.

Data itu termasuk maklumat tentang lebih 50 warga AS, kata kenyataan itu.

Brochez juga akan diletakkan di bawah pemantauan selama tiga tahun selepas dibebaskan.

Dia dipenjarakan di Singapura pada 2016 kerana menipu tentang statusnya yang HIV, kesalahan berkaitan dadah dan penipuan.

Dia dihantar pulang pada 2018 dan kemudian muncul dengan maklumat bocor itu, menyebabkan dia ditahan di AS.

Keterangan dalam perbicaraan menunjukkan Brochez menghantar data itu kepada e-mel emaknya di Kentucky dan mendapatkan semula maklumat itu ketika dia pulang.

Warga asing yang ada HIV tidak dibenarkan ke Singapura. – AFP, 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen