Najib lulus bon RM11.4 bilion, pinjaman beli syarikat tenaga, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan 1MDB yang masuk hari ke-15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 September, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak meluluskan penerbitan bon dan pinjaman bernilai RM11.4 bilion untuk membiayai pembelian firma tenaga Tanjong Energy Holdings Ltd daripada hartawan Ananda Krishnan pada awal 2012, mahkamah diberitahu semasa perbicaraan 1MDB hari ini.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang Najib menandatangani surat kelulusan pinjaman berjumlah RM6.17 bilion dan terbitan bon bernilai AS$1.75 bilion (RM5.23 bilion) untuk membiayai pengambilalihan syarikat tenaga itu.

Saksi berkata RM6.17 bilion adalah pinjaman penyambung antara 1MDB dan Maybank Bhd serta RHB Bhd.

Secara berasingan, Goldman Sachs dilantik sebagai broker dan pengatur bagi pengeluaran bon AS$1.75 bilion.

Semasa soal balas, Shahrol memberitahu mahkamah tidak mungkin pinjaman atau penerbitan bon diteruskan tanpa persetujuan daripada Najib, dengan kapasitinya sebagai menteri kewangan.

Surat persetujuan itu ditangani oleh peguam 1MDB Jasmine Loo yang mendapat tandatangan Najib, kata saksi itu.

1MDB ketika itu dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF), yang diketuai oleh Najib. Bekas perdana menteri juga merupakan sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pemimpin berusia 66 tahun itu sedang diadili atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperolehi suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pagi ini, Shahrol mengesahkan terbitan bon bagi urus niaga Tanjong Energy adalah susulan pertemuan peribadi antara Najib dan bekas CEO Goldman Sachs, Lloyd Craig Blankfein di New York pada 22 November 2009. – 30 September, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen