Kes Adib, polis tunggu arahan peguam negara


Kalidevi Mogan Kumarappa

Semua saksi inkues dalam kes kematian Muhammad Adib Mohd Kasim dipanggil memberi keterangan kepada polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2019.

POLIS sedang menunggu arahan lanjut dari Jabatan Peguam Negara berhubung kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan kes itu tidak pernah ditutup.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kita akan cuba mengesan mereka yang terlibat seperti mana arahan Mahkamah Koroner untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Semua saksi inkues dipanggil memberi keterangan kepada polis kita akan memanggil mereka semula jika perlu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Pada Jumaat lalu Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariammam USJ 25 Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan. – 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen