Polis siasat kes doa di SK (P) Methodist Pulau Pinang


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS memulakan siasatan berhubung dakwaan pengurusan Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist Pulau Pinang melarang bacaan doa mengikut agama Islam pada majlis hari kecemerlangan pelajar pada Jumaat lalu.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya sudah menerima laporan polis daripada beberapa individu yang menghadiri acara berkenaan pada 27 September lalu.

“Berdasarkan laporan itu, mereka mendakwa bacaan doa mengikut agama Islam tidak dibenarkan sebaliknya bacaan doa Kristian diadakan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran Amin Senin memberi peringatan tegas kepada pihak pengurusan sekolah kerana melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian.

Katanya, apa yang berlaku di SK Perempuan Methodist itu melanggar garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi di bawah kementerian, yang dikeluarkan pada 2016.

Garis panduan pada 2016 itu lanjutan daripada surat pekeliling atas isu sama yang pernah dikeluarkan oleh ketua pengarah pelajaran pada 1977, berhubung bacaan doa Kristian semasa perhimpunan sekolah.

Surat pekeliling pada 1977 itu menetapkan agar sekolah mubaligh mengatur perhimpunan sekolah supaya bacaan doa Kristian dibuat dengan hanya disertai oleh pelajar dan guru beragama Kristian. – 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen