Dakwa lelaki mengamuk syahid, polis panggil naib ketua Puteri Umno


Kalidevi Mogan Kumarappa

Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan mengapi-apikan orang lain sehingga boleh mendorong jenayah. – Gambar Facebook, 30 September, 2019.

POLIS memanggil Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi ke Bukit Aman hari ini untuk disiasat berhubung kenyataannya mendakwa lelaki mengamuk yang ditembak polis di Bayan Lepas, Pulau Pinang minggu lalu sebagai mati syahid.

Beliau dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan mengapi-apikan orang lain sehingga boleh mendorong jenayah, kata Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Mior Faridalathrash Wahid.

Katanya, Nurul Amal juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana penggunaan internet untuk tujuan salah.

“Selepas dirakam keterangan, dia akan dibebaskan dengan ikat jamin polis,” katanyapada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam kejadian pada 23 September lalu, seorang lelaki berparang ditembak mati selepas cuba menyerang polis dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayang Lepas.

Lelaki itu, pekerja di kilang berkenaan, sebelum itu menetak mati seorang penyelia wanita dan mencederakan pengarah keselamatan kilang.

Polis sebelum ini memburu tiga individu yang didakwa menyebarkan maklumat palsu di media sosial mengaitkan kejadian dengan unsur perkauman dan agama.

Dua individu di Kedah manakala seorang di Pulau Pinang, kata polis.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini memberi amaran jangan ada mana-mana pihak mengaitkan kes jenayah dengan sentimen kaum dan agama, serta menyebarkan maklumat tidak benar melalui media sosial dengan niat buruk.

Hanya beberapa jam selepas amaran Hamid itu, Nurul Amal dalam satu ceramah di Kubang Kerian, Kelantan mendakwa lelaki yang ditembak mati itu syahid kerana mempertahankan Nabi Muhammad. – 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen