Guru di Sarawak perlu asah penguasaan bahasa Inggeris


Desmond Davidson

Persatuan Guru Sarawak menasihati guru untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi membolehkan pengajaran dibuat dalam bahasa itu. – Gambar AFP, 30 September, 2019.

GURU di Sarawak tidak sepatutnya menggunakan kurang penguasaan dalam bahasa Inggeris sebagai alasan untuk menangguhkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun depan, kata persatuan guru.

Sebaliknya, Persatuan Guru Sarawak (STU) berkata guru sepatutnya mengambil peluang ini untuk mempertingkatkan lagi diri mereka dalam penggunaan bahasa itu.

Presiden STU Macky Joseph berkata pihaknya percaya dasar itu perlu diteruskan.

“STU bersetuju semua orang perlu bermula dari satu tempat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Isu itu giat dibahaskan sejak minggu lalu selepas Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin berkata guru tidak mahir dalam bahasa Inggeris tidak peduli tentang tatabahasa dan bercakap menggunakan “bahasa Inggeris Sarawak”.

Manyin di depan kira-kira 600 guru menghadiri Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris (SELES) 2019 di Sibu pada Isnin minggu lalu berkata dalam bahasa Melayu Sarawak “gasak ajak” (buat saja).

Joseph berkata persatuan itu percaya 2,800 guru terbabit dapat mengajar murid darjah satu mata pelajaran bahasa Inggeris.

Katanya, latihan intensif untuk guru adalah tindakan bijak.

Pesara guru Augustine Leong bagaimanapun berkata bercakap lebih mudah berbanding melaksanakannya.

Leong yang berpengalaman mengajar di sekolah rendah pedalaman di mana muridnya tidak bercakap bahasa Inggeris langsung atau sedikit saja, berkata tugasan yang diberikan kepada guru tidak menguasai bahasa itu agak sukar dilakukan.

“Tetapi ia sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Leong berkata guru yang terpaksa bertukar daripada bahasa Malaysia ke Inggeris mungkin berdepan tekanan dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan pertama.

“Mungkin ada keadaan di mana guru rasa kekok cuba mengajar dalam bahasa yang mereka tidak mahir kepada pelajar yang langsung tidak bercakap bahasa itu.

“Tetapi guru perlu tanya diri sendiri, ‘Siapa murid ini untuk menghakimi sama ada mereka baik atau tidak?’,” katanya. – 30 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen