PERBICARAAN 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib Razak masuk hari ke-15 hari ini dengan saksi pendakwaan kesembilan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Terengganu Investment Authority (TIA) Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kembali memberi keterangan.
Pada Khamis, Shahrol memberitahu mahkamah bekas perdana menteri mendesak mendapatkan pinjaman daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk 1MDB bagi membolehkan entiti itu membayar jumlah yang sama kepada PetroSaudi International Ltd.
Memetik minit mesyuarat 1MDB bertarikh 30 Mac 2011, beliau memberi keterangan Najib meluluskan rancangan itu.
Pinjaman AS$750 juta bertujuan untuk pelaburan dalam Maybourne Hotel Group yang berpangkalan di London, SRC International Sdn Bhd dan Kuala Lumpur International Financial District, yang kemudian dinamakan semula sebagai Tun Razak Exchange, kata Shahrol.
Ia adalah kali pertama Socsco disebut dalam skandal 1MDB. Saksi itu tidak mendedahkan sama ada Sosco telah meluluskan sebarang pinjaman kepada firma pelaburan itu.
Shahrol juga berkata Najib bertemu bekas CEO Goldman Sachs, Lloyd Craig Blankfein pada 22 November 2009 bagi mendapatkan sokongan bank pelaburan untuk usaha 1MDB selanjutnya.
Orang tengah 1MDB, Low Taek Jho dan bekas CEO Goldman Sachs Asia Tim Leissner adalah pihak bertanggungjawab mengatur pertemuan di Hotel Four Seasons, mahkamah mendengar.
Shahrol berkata bidang yang menjadi keutamaan adalah tenaga, terutamanya sektor penjanaan tenaga bebas, sambil menambah tahun berikutnya, beliau menulis surat kepada Najib, mencadangkan pelaburan dalam sektor tersebut.
Najib sedang dibicarakan berhubung empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama. Beliau bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan, sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mempengerusikan perbicaraan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.47pm: Mahkamah ditangguh.
4.15pm: Sri Ram: Daripada pemerhatian anda, siapa yang letakkan Jho Low dalam kedudukan berkuasa itu?
Shahrol: Daripada pemerhatian saya, saya tidak tahu bagaimana rapatnya dengan Najib dan keluarga. Saya mula-mula dapat rasa (mereka rapat) pada April 2009 apabila Jho Low bawa saya ke rumah Najib di Putrajaya.
4.13pm: Dalam pemahaman Shahrol, tindakan Najib dan Jho Low selaras.
4.12pm: Shahrol memberitahu mahkamah yang tindakan Jho Low dalam “silo” (tanpa atau hanya sedikit diketahui orang lain), dengan mengasingkan Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri dan 1MDB. Ramai orang hanya tahu apa yang mereka perlu tahu supaya mereka tidak mendapat gambaran penuh isu itu.
3.34pm: Mahkamah sedang meneliti perjanjian usaha sama antara Aabar dan TRX Co.
3.31pm: Shahrol berkata pada 15 Oktober 2012, Lembaga Pengarah 1MDB bermesyuarat untuk meneliti cadangan kerjasama dengan Aabar untuk pembangunan TRX. Terma kerjasama adalah seperti berikut:
1) Aabar akan menyediakan pembiayaan dan kepakaran untuk pembangunan TRX.
2) Tanah TRX yang dinilaikan pada RM1.78 bilion, akan dipindahkan kepada TRX Co yang 100% milik 1MDB.
3) Usaha sama itu akan didaftar sebagai perniagaan tidak diperbandakan.
4) Tiada faedah akan dibayar sama ada untuk tanah atau sumbangan tunai.
5) TRX Co akan memeterai perjanjian musyarakah dengan Aabar.
6) Keuntungan akan dikongsi 50:50 antara pihak terlibat tetapi tiada jaminan keuntungan.
7) Aabar akan diberikan hak melantik dua daripada lima pengarah TRX Co.
8) Aabar akan diberikan hak mencalonkan CEO TRX Co.
3.19pm: Mahkamah memeriksa tiga fasa transaksi 1MDB. Ini melibatkan urus niaga berkaitan pembangunan hartanah Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur.
2.52pm: Katanya selepas siasatan terhadap 1MDB selesai, beliau kemudiannya menyedari yang deposit wang diatur oleh Jho Low ke dalam akaunnya sebelum masuk ke dalam akaun Najib.

2.50pm: Shahrol berkata pembelian Genting Sanyen dibuat menggunakan pinjaman penghubung berjumlah RM700 juta dan bon edaran bernilai AS$1.75 bilion.
“Saya akui terdapat banyak lebihan daripada pembiayaan pengambil alihan itu. Bagaimanapun, saya ingin tegaskan yang saya tidak tahu duit tambahan itu adalah untuk bayaran deposit sekuriti berjumlah AS$790,354,855.00 kepada Aabar akan disonglap pihak lain.”
2.38pm: Mahkamah kembali bersidang.
12.55pm: Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari.
12.50pm: Ketua pasukan pendakwa Gopal Sri Ram menyimpulkan bahawa Genting Sanyen dibeli dengan bon bernilai AS$1.75 bilion dan RM800 juta daripada Affin Bank, perancang utama urus niaga itu.
12.02pm: Shahrol berkata mereka mahu membeli pengeluar jana kuasa bebas bernilai RM2.75 bilion, menambah beliau ada kuasa penuh untuk menandatangani urus niaga itu.
Katanya, beliau juga bertanggungjawab dalam “mengumpul dana” untuk urus niaga itu, dengan mendapatkan pinjaman RM1 bilion dan mengagihkan bon bernilai AS$1.75 bilion menerusi 1MDB Energy (Langat) Ltd.
Semua ini dijalankan oleh “pemegang saham” Najib yang juga perdana menteri dan menteri kewangan, katanya.
11.56am: Shahrol memperincikan pengambilalihan Genting Sanyen Sdn Bhd dengan 100% ekuiti daripada Mastika Lagenda Sdn Bhd. Katanya, projek itu dinamakan “Greyhound”, diketuai oleh Tim Leissner dan Loo.
Projek Greyhound mempunyai modus operandi yang sama seperti urus niaga Tanjong Energy, di mana Goldman Sachs akan menjadi broker urus niaga itu, katanya.
11.50am: Mahkamah sambung bersidang.
11.15am: Mahkamah berhenti rehat 15 minit.
10.31am: Shahrol berkata tidak ingat sama ada pembelian Tanjong Energy memberi keuntungan kepada 1MDB. Beliau berkata keuntungan sepatutnya diperoleh apabila Tanjong termasuk dalam senarai awam tetapi tidak ia tidak dibuat.
10.21am: Shahrol mengatakan beliau tidak berjumpa dengan Jasmine Loo sejak meninggalkan 1MDB pada 2013.
Beliau juga mengatakan kali terakhir melihat Terence Geh pada 2014 atau 2015.
10.16am: Mereka sedang mengesahkan beberapa dokumen bagi saksi.
9.48am: Mahkamah bersidang dengan saksi Shahrol mengambil tempat untuk membaca keterangan kesaksiannya. – 30 September, 2019.
Komen