Boeing tidak masukkan 'kawalan utama' pada sistem jet 737 MAX


Selepas lebih enam bulan Boeing menggantung operasi 737 MAX, masih belum diketahui bila perkhidmatan pesawat itu akan disambung. – Gambar EPA, 30 September, 2019.

BOEING tidak memasukkan “kawalan utama” daripada sistem anti-pegun 737 MAX yang ada dalam versi terdahulu bagi sistem digunakan pada pesawat pengangkut tentera, lapor Wall Street Journal semalam.

Sistem anti-pegun MCAS ini terlibat dalam dua kemalangan yang mengorbankan 346 nyawa.

Versi terdahulu sistem ini bergantung kepada pelbagai sensor dan mempunyai “keupayaan terhad untuk menggerakkan bahagian depan pesawat,” sementara versi MAX menerima input daripada hanya satu sensor dan “lebih sukar bagi juruterbang untuk mengambil alih,” kata akhbar itu.

Jurnal itu memetik orang yang biasa dengan sistem itu berkata versi terdahulu direka untuk mengatasi sebarang masalah.

“Anda tidak mahu penyelesaian menjadi lebih buruk daripada masalah awal,” kata orang itu.

Jurucakap Boeing memberitahu akhbar sistem itu “tidak boleh dibandingkan dengannya.”

Dalam kejadian melibatkan jet MAX yang terhempas, juruterbang mendapati mereka bergelut dengan sistem untuk memastikan pesawat itu tidak terjunam ke bawah.

Boeing sedang berusaha memperbaiki MAX yang akan menjadikan sistem MCAS lebih serupa dengan yang digunakan dalam pesawat tentera itu, kata akhbar tersebut.

Lebih enam bulan selepas penggantungan operasi 737 MAX, masih belum diketahui bila perkhidmatan pesawat itu akan disambung. – AFP, 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen