5 cedera kebakaran stesen kereta api laju di Arab Saudi


Kebakaran di stesen kereta api laju di Jeddah, Arab Saudi meletus pada Ahad yang memaksa pihak syarikat menggantung semua operasi. – Gambar EPA, 30 September, 2019.

LIMA cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah stesen kereta api laju baharu di bandar Jeddah, Arab Saudi pada Ahad, lapor televisyen negara itu.

Stesen ini berfungsi sebagai sistem utama Rel BerKelajuan Tinggi Haramain yang dibuka kepada orang ramai pada Oktober tahun lepas untuk membawa penumpang antara Mekah dan Madinah.

“Lima orang mengalami kecederaan ringan akibat kebakaran dibawa ke hospital,” kata Al-Ekhbariya.

Pengarah Pertahanan Awam Arab Saudi menulis di Twitter ia sedang berusaha memadamkan api.

Dalam satu siri tweet, pengarah kesihatan Jeddah menasihatkan rakyat supaya “menjauhkan diri dari asap sebaik mungkin”.

Ia juga memberi nasihat kepada mereka “memakai topeng ketika meninggalkan rumah” untuk melindungi diri daripada asap dan debu.

Video yang dimuat naik di Twitter oleh kerajaan wilayah Mekah menunjukkan asap kelabu kelabu keluar dari kompleks.

Wartawan AFP mengatakan pasukan keselamatan menutup jalan utama yang menghubungkan Mekah dan Jeddah dan mengepung tapak tersebut.

Kebakaran itu meletus pada pukul 12.35 waktu tempatan (0935 GMT), menurut akaun Twitter Rel BerKelajuan Tinggi Utama Haramain. Syarikat itu kemudian berkata ia menggantung sementara semua perjalanan.

“Demi keselamatan pelancong, perjalanan laluan kereta api akan ditangguhkan sehingga notis lanjut,” katanya.

Sistem pengangkutan itu mempunyai kemampuan membawa penumpang dengan kelajuan 450 kilometer sejam.

Raja Salman merasmikan keretapi itu pada September 2018. Para pegawai menyifatkannya sebagai projek pengangkutan terbesar di rantau ini.

Pada 2011, kerajaan menandatangani perjanjian dengan konsortium Sepanyol untuk membina landasan kereta api, membekalkan 35 kereta api berkelajuan tinggi dan mengendalikan kontrak penyelenggaraan selama 12 tahun.

Arab Saudi menambah perbelanjaan infrastruktur dan membesarkan landasan kereta apinya - termasuk sistem metro bernilai AS$22.5 bilion yang sedang dibina di ibu kota Riyadh - bagi mempelbagaikan ekonomi yang selama ini hanya bergantung kepada hasil minyak. – AFP, 30 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen