MENTERI luar Iran menggesa negara seterunya Arab Saudi menerima pendirian bahawa “keselamatan tidak boleh dibeli”, berkata penamatan perang Yaman boleh meredakan ketegangan di rantau bergolak itu.
Dalam wawancara bersama agensi berita rasmi Tehran, IRNA selepas Perhimpunan Agung PBB, Mohammad Javad Zarif menuduh kepimpinan Saudi sengaja menghangatkan ketegangan rantau itu.
“Mereka fikir, dalam cara sama mereka membeli semuanya dengan duit dan berjaya membeli senjata api, persahabatan dan sokongan, mereka juga boleh beli keselamatan dengan duit,” katanya yang menggesa Riyadh supaya “menghentikan ilusi itu”.
Arab Saudi dan Iran bertelegah berdekad lamanya untuk menjadi kuasa besar rantau Arab dan ia bertambah tegang dengan perang di Yaman yang kini hampir menjadi kawasan kebuluran.
Ketegangan itu memuncak sejak beberapa bulan lepas, terutama selepas serangan di loji penapis minyak milik Saudi awal bulan ini.
Iran menafikan bertanggungjawab dan pemberontak Huthi di Yaman mengaku menjadi dalang serangan yang menyebabkan separuh bekalan minyak negara utama Opec itu terjejas.
Tetapi sekutu Riyadh, Washington dan kuasa besar Eropah lain percaya serangan berpunca daripada dron dan peluru berpandu dari Tehran.
Arab Saudi masuk campur perang di Yaman pada 2015 untuk menyokong kerajaan yang disingkirkan pemberontak Huthi sebelum itu.
Iran menafikan ia menyalurkan senjata api kepada Huthi dan berulang kali mengecam penglibatan Riyadh.
Zarif dipetik IRNA berkata Riyadh menimbulkan ketegangan dalam usaha “membuka jalan kepada pihak asing masuk ke rantau itu”.
AS mempunyai beberapa buah pengkalan tentera di negara Teluk dan mengancam menyerang Iran susulan serangan loji minyak itu.
Zarif berkata penyelesaian krisis jelas iaitu dengan menamatkan perang di Yaman.
Ratusan ribu orang kebanyakan warga awam terbunuh sejak Arab Saudi dan sekutu masuk campur perang itu pada Mac 2015.
Peperangan itu juga menyebabkan jutaan orang menjadi pelarian dan lebih dua pertiga penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan dalam krisis yang dianggap PBB terburuk sedang berlaku. – AFP, 29 September, 2019.
Komen