Agensi pusat pantau sungai perlu ditubuhkan, kata ketua Span


Timothy Achariam

Pencemaran di Bukit Mahkota menyebabkan bekalan air di Selangor terganggu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2019.

PENUBUHAN Agensi Sungai Negara sudah menjadi keutamaan mendesak dalam usaha memerangi pembuangan sisa haram di sungai seluruh negara, kata Charles Santiago.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) itu berkata agensi pusat berkenaan akan diberikan kuasa menyelia semua urusan pencemaran sungai di seluruh negara berbanding sistem berasingan yang wujud sekarang.

“Kita memerlukan pihak berkuasa sungai nasional, terlalu banyak agensi yang terlibat sekarang, kita perlu sebuah agensi yang memayungi semua agensi lain,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Loji Rawatan Air Semenyih ditutup sementara pada petang Sabtu kerana pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada hampir 37,000 pengguna di empat daerah di Selangor.

Sumber pencemaran itu dikesan daripada pusat rawatan sisa kumbahan di Bandar Bukit Mahkota.

Operasi loji itu berjaya disambung semula pada jam 6.30 pagi tadi.

Kata Santiago, buat masa sekarang, Span, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor dan Konsortium Indah Water terbabit dan sedang menjalankan siasatan sendiri berkaitan semua kes pencemaran sungai di Selangor.

Tambahnya, situasi itu mendesak penubuhan sebuah agensi pusat yang menyelaras siasatan bagi menentukan pihak bertanggungjawab dalam pencemaran itu.

“Ini penting, kita perlukan segera. Kerajaan perlu teliti dengan serius,” katanya.

Pengerusi Span Charles Santiago berkata agensi itu akan diberikan kuasa menyelia semua urusan pencemaran sungai di seluruh negara berbanding sistem berasingan yang wujud sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Beliau turut mencadangkan Indah Water dan Air Selangor memasang sistem penapisan pencemaran yang lebih berkesan.

“Mereka memerlukan sistem penapis lebih baik bagi mengesan bahan pencemar dalam air serta merta (selepas pencemaran berlaku), kebanyakan loji rawatan ini mempunyai teknologi lama dan tidak boleh mengesan pencemaran dengan pantas.”

Tambahnya, masalah pencemaran yang berlaku di negara ini adalah disebabkan cara masyarakat menggunakan sungai.

“Saya fikir masalah di Selangor dan seluruh negara adalah cara kita menggunakan sungai seperti tong sampah, banyak benda dibuang ke dalamnya, daripada najis haiwan, sisa kumbahan, bahan toksik kilang dan sebagainya.

“Ini menyukarkan kerja Indah Water,” katanya.

Beliau turut mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pencemar seperti penggantungan lesen kilang, penjara sehingga memecat semua pegawai kanan syarikat yang terbukti terlibat.

Kes pencemaran sungai yang berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan gangguan bekalan air perlu perhatian segera Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Aktivis alam sekitar Andrew Sebastian juga bersetuju dengan cadangan Charles supaya sebuah agensi penyelarasan ditubuhkan.

“Sebenarnya kurang penguatkuasaan antara pihak berkuasa tempatan kerana mereka tidak ada sumber, juga kepincangan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan kerana tidak menyatukan semua pihak bertanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Andrew juga memberi amaran sekiranya masalah ini tidak diatasi, Lembah Klang akan terus berdepan gangguan bekalan air.

“Mereka (pihak berkuasa) perlu berhenti menyalahkan satu sama lain tetapi bekerjasama menguatkuasa dan memantau kawasan tadahan air di Sungai Selangor.”

Beliau menegaskan negara sudah mempunyai SOP mencukupi untuk mengatasi masalah ini, tetapi ia perlu dikuatkuasakan.

Menurutnya lagi, penguatkuasaan juga boleh dijalankan dengan penglibatan orang awam dengan cara ganjaran kepada pemberi maklumat.

“Kita boleh gunakan renjer sungai, mewujudkan talian bantuan untuk rakyat telefon sekiranya mereka nampak pencemaran sungai berlaku.

“Rakyat juga perlu sedar tentang kepentingan kawasan tadahan air,” katanya lagi. – 29 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen