Trak pikap terbalik di Thailand, 13 maut


Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan penumpang yang menaiki belakang trak itu tercampak keluar selepas kenderaan itu gagal dikawal. – Gambar Facebook, 29 September, 2019.

SERAMAI 13 orang maut, kebanyakannya pelajar, apabila sebuah trak pikap terbali ketika cuba menukar laluan di ibu negara Thailand, hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan penumpang yang menaiki belakang trak itu tercampak keluar selepas kenderaan itu gagal dikawal.

12 mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi di hospital.

Sembilan daripada mangsa merupakan pelajar kolej mekanikal yang baru saja tamat menjalani praktikal di sebuah syarikat tempatan.

Seramai 18 orang berada dalam trak itu dan mereka dalam perjalanan untuk meraikan majlis sempena tamat latihan tersebut.

Dua daripada lima mangsa yang terselamat mengalami cedera parah.

Kemalangan maut sering berlaku di Thailand dengan melibatkan faktor kes pandu laju, mabuk dan kurang penguatkuasaan.

Walaupun kebanyakan kes melibatkan penunggang motosikal, kemalangan yang membabitkan bas dan pekerja asing sering menjadi tajuk utama media.

Pada Mac tahun lalu, seramai 18 orang maut dan puluhan lagi cedera apabila sebuah bas terlibat dalam kemalangan di barat laut Thailand.

Pertubuhan Kesihatan Dunia baru-baru ini melaporkan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya di Thailand sebanyak 32.7% bagi setiap 100,000 orang berbanding 12.4% di Amerika Syarikat (AS). – AFP,  29 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen