JUMLAH korban maut akibat gempa kuat yang melanda pulau Maluku di Indonesia meningkat kepada 30 orang hari ini termasuk kanak-kanak, kata agensi bencana tersebut.
Khamis lepas penduduk berlari menyelamatkan diri selepas bangunan runtuh akibat gempa dengan kekuatan 6.5 magnitud melanda sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa.
Di antara yang disahkan maut ialah tiga kanak-kanak termasuk ramai yang terbunuh akibat tersepit di dalam runtuhan bangunan di sekitar bandar Ambon.
Gabenor wilayah itu mengisytiharkan darurat sehingga 9 Oktober ini, kata agensi berkenaan.
“Pagi ini seramai 30 orang disahkan maut dan 156 cedera,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Agus Wibowo.
Sekurang-kurangnya 25,000 orang terpaksa menyelamatkan diri apabila rumah mereka rosak akibat gempa kuat, kata Wibowo sebelum ini.
Beratus-ratus rumah, pejabat, sekolah dan kemudahan awam rosak akibat bencana berkenaan.
Pihak berkuasa telah mendirikan khemas kecemasan dan dapur awam untuk mangsa di beberapa daerah.
US Geological Survey AS berkata, gempa melanda kira-kira 37 kilometer (23 batu) di timur laut Ambon di wilayah Maluku pada kedalaman 29 kilometer.
Tahun lepas gempa bumi 7.5 magnitud dan tsunami melanda di Palu di pulau Sulawei menyebabkan 4,300 orang terkorban atau hilang.
Pada 2004, gempa bumi 9.1 magnitud melanda pantai Sumatera dan menyebabkan tsunami sehingga membunuh 220,000 di seluruh rantau ini termasuk 170,000 penduduk di Indonesia. – AFP, 29 September, 2019.
Komen