BERITA bahawa utusan khas Presiden AS Donald Trump ke Ukraine meletak jawatan secara mengejut tidak dibongkar oleh agensi media ternama di Washington atau New York- sebaliknya hasil usaha seorang pelajar kewartawanan negara itu.
Andrew Howard, pengarang urusan akhbar pelajar, The State Press di Arizona State University, membongkar berita Kurt Volker meletak jawatannya di Jabatan Negara selepas Kongres mengarahkan beliau menjawab soalan dalam siasatan pendakwaan ke atas Trump, pada Jumaat.
“Saya tak guna pendekatan berbeza untuk cerita ini,” kata Howard kepada The New York Times semalam. “Semua orang mencari detik ‘aha’ dan saya tak terfikir dapat.”
Howard berkata beliau mencari cerita tempatan untuk berita utamanya, dan Volker adalah pengarah di institut keselamatan nasional di universitinya.
Seorang pegawai universiti kemudian memberitahu Howard yang diplomat Volker sudah meletak jawatan dalam kerajaan.
“Saya tak pasti kami ada harapan untuk dapatkan cerita itu tetapi kami dapat,” katanya.
Howard sedang menjalani latihan industri- di akhbar The Arizona Republic- apabila beliau menulis berita itu yang dilaporkan semula oleh berpuluh media utama AS, yang berlumba-lumba mencari perkembangan berita penting itu.
Seorang pemberi maklumat menuduh Trump menekan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky untuk memberikan rahsia kotor tentang bekas naib presiden AS Joe Biden, calon pilihan untuk mewakili Demokrat menentang Trump pada pemilihan presiden 2020.
Volker didakwa bertemu pegawai kanan Ukraine untuk “memenuhi” permintaan Trump kepada Zelensky.
Jawatankuasa Dewan Perwakilan yang diterajui Demokrat mengarahkan Volker menghadap Khamis depan untuk sesi soal siasat. – AFP, 29 September, 2019.
Komen