Kematian model serlah sisi gelap industri hiburan Thailand


Mayat model Thitima Noraphanpiphat ditemui di lobi blok apartment, beberapa jam selepas beliau menghadiri parti. – Gambar Instagram, 29 September, 2019.

POLIS Thailand sedang menyiasat kematian seorang model dengan memburu lebih ramai suspek dalam kes yang menarik perhatian negara dan mencetuskan kemarahan berhubung layanan terhadap wanita dalam sektor industri hiburan.

Mayat model Thitima Noraphanpiphat ditemui di lobi blok apartmen di Bangkok pada 17 September, beberapa jam selepas beliau menghadiri parti di mana beliau dibayar untuk menghidangkan minuman.

Polis sedang menyediakan kertas pendakwaan terhadap sesiapa yang terlibat dengan “skandal” yang membawa kepada kematian model berusia 25 tahun itu, jurucakap Krissana Pattanacharoen kepada AFP pada petang Sabtu.

Kes itu menjadi tajuk utama media di Thailand dan menimbulkan spekulasi di media sosial mengenai apa yang berlaku kepada Thitima, yang mempunyai hampir 85,000 pengikut di Instagram dengan ramai menulis “RIP” pada fotonya.

Di Thailand terdapat satu industri untuk mengupah model bagi menghadiri kelab, pelancaran produk dan pameran kereta.

Bagaimanapun, pengkritik berkata ada model yang menghadiri parti VIP boleh dipaksa dengan dadah, alkohol dan seks.

Mereka menerima bayaran sekitar AS$100 dan ke atas bagi kerja di sebelah petang - jumlah yang besar bagi pelajar kolej.

Polis sudah mendakwa tujuh individu yang terlibat dengan parti itu selepas rakaman CCTV yang menjadi viral menunjukkan suspek utama mengheret mayat Thitima ke lif sebelum meninggalkannya di atas sofa di lobi.

Siasatan meluas dijalankan dengan pihak berkuasa berharap kes itu akan menjadi satu amaran.

“Kami usdah membuka siasatan ke atas semua orang yang terlibat dalam skandal ini, termasuk agensi, pengurus ... dan para pelanggan yang berhibur di parti,” kata Krissana.

“Ia hanya membuktikan jika anda bertindak keterlaluan, inilah akibatnya.”

Beliau berkata polis tidak mengeluarkan punca rasmi kematian tetapi “kadar penggunaan alkohol yang tinggi” ditemui dalam tubuhnya.

Lelaki yang dipercayai dalam rakaman CCTV juga bekerja dalam industri hiburan dan dikenal pasti sebagai model Rachadej Wongtabutr.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata beliau menafikan sebarang salah laku.

Enam yang lain dibebaskan dengan ikat jamin selepas aduan berasingan daripada wanita lain yang diupah untuk parti itu mengatakan bahawa pengsan dan apabila sedar mendapati tidak berpakaian. – AFP, 29 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen