Menteri tegur poster bahasa Cina ahli Parlimen DAP


Poster yang dipaparkan di akaun Instagram Ahli Parlimen Teluk Intan Ng Kor Ming. – Gambar Instagram, 29 September, 2019.

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik membuat teguran terbuka terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan Ng Kor Ming kerana menggunakan poster bahasa Cina untuk satu program kerajaan di sekolah.

Maszlee berkata, ahli Parlimen DAP itu sepatutnya mengguna bahasa Melayu di poster bagi program di SJK Mi Te Ayer Tawar yang memaparkan jata kerajaan Malaysia.

Malah, kehadiran Nga ke sekolah itu juga sebagai seorang wakil kerajaan, kata Maszlee lagi yang turut meminta agar sekolah diberi teguran.

“Maaf YB. Memandangkan logo kerajaan digunakan pada poster dan juga YB merupakan wakil kerajaan, poster mestilah ditulis dengan menggunakan bahasa kebangsaan.

“Minta YB menegur pihak sekolah,” kata Maszlee yang mengulas gambar memaparkan poster tersebut di akaun Instagram timbalan speaker Dewan Rakyat itu.

Tulisan Nga pada gambar tersebut antara lain menyatakan kunjungan tersebut juga untuk menyampaikan sejumlah peruntukan khas untuk membantu sekolah terbabit.

Beberapa minggu lepas, satu lagi kes dikesan apabila muncul gambar menunjukkan pemimpin Pakatan Harapan bergambar bersama pelajar sekolah dengan memegang cek gergasi untuk sumbangan.

Gambar bersama cek berjumlah antara RM100,000 hingga RM730,000 itu tular di media sosial kerana memaparkan jata kerajaan Malaysia dan juga lambang parti. – 29 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen