VETERAN DAP Ahmad Ton meninggal dunia jam 6.20 pagi tadi di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor pada usia 70 tahun.
Ketua parti negeri Liew Chin Tong yang mengumumkan berita kematian itu menggambarkan Ahmad yang menyertai DAP pada 1975 sebagai seorang pejuang yang berdiri teguh dengan prinsipnya.
“Berasal dari Batu Pahat, Ahmad Ton menyertai DAP ketika tidak ramai orang Melayu berfikir mahu menyertai parti itu.
“Dia beritahu saya yang dia terkesan dengan komitmen DAP terhadap politik bukan perkauman. Keluarganya tidak menyokong dia masuk DAP jadi Ahmad terpaksa tunggu sehingga ayahnya menyertai parti berkenaan,” kata timbalan menteri pertahanan itu dalam kenyataannya.
Ahmad telah memegang pelbagai jawatan sepanjang bersama dengan DAP.
Di antaranya ialah Pengerusi DAP Johor (2004-2005), Naib Pengerusi Negeri (2005-2014), ahli jawatankuasa negeri DAP Johor, Timbalan Ketua Setiausaha DAP (2004-2008) dan ahli CEC dari 1982 hingga 2012.
Liew juga memuji Ahmad kerana keberaniannya bertanding di kerusi paling sukar di Johor dalam satu siri pilihan raya umum dari 1982 hingga 2008.
“Ahmad Ton tidak takut untuk mempertahankan kerusi paling sukar (termasuk bekas kubu kuat Barisan Nasional Tanjong Piai dan Labis). Tahun-tahun itu adalah masa paling gelap bagi DAP tetapi beliau teguh berdiri dengan parti.
“Perjalanan DAP di bekas kubu Barisan Nasional di Johor tidak pernah mudah bagi veteran kami. Sebagai seorang Melayu di dalam DAP, persekitaran politik Johor yang terdahulu adalah sukar untuk Ahmad Ton.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Ton dan bagi pihak DAP saya berterima kasih kepada beliau atas kesetiaan, khidmat dan pengorbanannya. Terima kasih komrad dan selamat tinggal kawan saya,” katanya. – 29 September, 2019.
Komen