PASUKAN Formula 1 Mercedes mengesahkan pada Sabtu pemecatan empat kakitangannya susulan siasatan dalaman terhadap kejadian buli berunsur perkauman.
Satu kenyataan daripada Mercedes berkata Mercedes-Benz Grand Prix mengesahkan “empat individu dipecat daripada syarikat itu pada 2 Ogos. Pemecatan ini susulan siasatan dalaman yang mengesahkan pelanggaran dasar kepelbagaian dan kesaksamaan kami.”
Laporan media berita pada Sabtu berkata empat kakitangan itu bekerja di jabatan IT pasukan dan didakwa membuli seorang pekerja Islam. Tiga orang lain dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar dasar kepelbagaian syarikat itu.
“Kami mengutuk keras tingkah laku ini dan bertindak serta-merta dengan aduan itu,” kata Mercedes. “Kami menghargai kepelbagaian pekerja kami dan ia merupakan sumber kekuatan pasukan kami.
“Persekitaran kerja kami berdasarkan penghargaan dan saling menghormati.”
Laporan akhbar di UK, The Sun dan Mirror mengatakan kakitangan terbabit membuat undian semasa Ramadan bila rakan sekerja Muslim mereka akan berbuka puasa, selain mengeluarkan kata makian.
Seorang sumber memberitahu The Sun: “Ini adalah satu kes buli perkauman yang teruk. Mereka membuli seorang lelaki Muslim selama bertahun-tahun.”
Juara bertahan dunia sebanyak lima kali, Lewis Hamilton yang memandu untuk pasukan Mercedes, menjadi pengkritik suara perkauman.
Rayuan akhir terhadap pemecatan diadakan minggu lepas sebelum pasukan mengesahkan keputusan yang diambil. – AFP, 29 September, 2019.
Komen