PASUKAN keselamatan Israel pada Sabtu mengenal pasti dan menahan tiga lelaki Palestin yang didakwa anggota kumpulan militan kerana membunuh seorang remaja Israel dalam pengeboman di Tebing Barat yang diduduki.
Kenyataan oleh agensi keselamatan domestik Shin Bet dan polis mengatakan ketiga-tiga mereka adalah anggota aktif Popular Front for Liberation of Palestine (PFLP), yang dilihat sebagai “kumpulan pengganas” oleh Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.
Bom itu meletup pada 23 Ogos berhampiran sebuah mata air yang menjadi kolam renang berhampiran penempatan Yahudi di Dolev, timur laut Ramallah, membunuh seorang remaja Israel berusia 17 tahun Rina Shnerb dan mencederakan bapa dan abangnya.
“Dalam operasi bersama antara Shin Bet, tentera dan polis Israel, para penyerang ... serangan itu telah ditemui dan ditangkap,” kata agensi keselamatan tempatan dan polis dalam kenyataan yang hampir serupa pada Sabtu.
Kenyataan itu mengesahkan rakyat Palestin itu sebagai “penduduk kawasan Ramallah yang aktif dalam” PFLP.
PFLP melakukan beberapa rampasan pesawat pada 1960-an dan 1970-an, tetapi hilang tarikan beberapa tahun kebelakangan ini di wilayah Palestin.
Shin Bet menambah kumpulan itu sedang merancang serangan lain ketika tangkapan dibuat.
Polis berkata penangkapan itu berlaku “beberapa minggu lalu”, tanpa memberikan tarikh tertentu.
Pasukan keselamatan mengatakan sehari selepas serangan bom beberapa suspek ditangkap dan dipindahkan untuk siasatan lanjut.
Tiada kumpulan Palestin mengaku bertanggungjawab terhadap letupan itu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 26 Ogos mengarahkan ratusan rumah baru dibina berhampiran tapak serangan bom.
Palestin hanya sesekali menyerang Israel di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari 1967, tetapi serangan bom jarang berlaku.
Serangan Palestin kebanyakannya hanya melibatkan senjata, pisau dan kereta. – AFP, 29 September, 2019.
Komen