Hidup di Malaysia lebih baik, luah pelarian Rohingya di Bangladesh


Ramai yang ditemui di kem pelarian Kutupalong, Bangladesh pernah bekerja di Malaysia dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka mengeluh dengan kehidupan sukar di situ yang kekurangan dari segi kemudahan. – Gambar AFP, 15 Oktober, 2017.

“KEHIDUPAN saya di Malaysia jauh lebih baik berbanding di kem pelarian. Tetapi saya perlu berada di sini untuk menjaga keluarga saya,” demikian kata Musa Khalil, 27, antara pelarian yang berada di Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35km dari Cox’s Bazar.

Berikutan konflik yang berterusan di tempat kelahirannya di wilayah Rakhine, Myanmar, dia dibawa keluarganya ke Kutupalong ketika berusia lima tahun dengan harapan mencari kehidupan lebih baik.

Musa pernah datang untuk bekerja di Malaysia pada 2009 hingga 2014 bagi mencari pekerjaan untuk membantu mengubah kehidupan keluarganya.

Bagaimanapun, statusnya sebagai pelarian dan tidak diberikan maklumat tepat mengenai peluangnya untuk bekerja di Malaysia, menyebabkan dia terpaksa kembali ke kem pelarian itu.

Dia ditipu orang tengah yang menjanjikannya kehidupan yang baik sedangkan dengan status pelarian, adalah mustahil untuk dia bekerja secara sah di Malaysia.

“Walaupun ditipu, saya rasa hidup saya lebih baik di Malaysia. Saya tak tahu yang pelarian tidak boleh kerja di Malaysia. Saya bekerja di banyak tempat, dari Subang hingga ke Johor. Tetapi saya kena balik juga ke sini kerana saya bukan pekerja sah.

“Tinggal sini sangat susah, makan tak cukup. Air (bersih) susah, tandas pun susah,” katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Katanya ramai pelarian di sini melihat pergi ke Malaysia sebagai peluang mereka untuk keluar daripada masalah yang membelenggu mereka, tetapi ia tidak semudah yang disangka kerana status mereka.

“Ramai di sini yang ada anggota keluarga bekerja di Malaysia. Kalau nasib baik boleh dapat pekerjaan, tapi ramai yang kena tipu dengan orang yang janji nak tolong,” katanya.

Sementara itu, Syed Hossein, 23, yang pernah bekerja di Malaysia selama setahun enam bulan berkata sewaktu bekerja di sana dia dapat membantu keluarganya seramai lapan orang tetapi apabila pulang pada 2014, kehidupan mereka menjadi sempit.

“Sini sangat susah. Saya tiada wang dan pekerjaan tetapi semua barang mahal. Kalau sakit ubat tak boleh dapat. Di sini rumah berlantaikan tanah, dinding kanvas,” katanya yang dilahirkan di kem pelarian itu.

Ramai pelarian Rohingya yang berada di Malaysia merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kerajaan tidak mengiktiraf status “pelarian” etnik Rohingya memandangkan Malaysia bukan negara anggota kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.

Ini menyebabkan secara dasarnya mereka tidak boleh bekerja secara sah di Malaysia.

Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan kerajaan membenarkan pemegang kad UNHCR termasuk etnik Rohingya yang mempunyai kad UNHCR yang sah untuk tinggal sementara sehingga dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi akan ke sini pada Isnin bagi menilai situasi pelarian Rohingya pada lawatan kerjanya ke Bangladesh yang bermula hari ini, menggambarkan kebimbangan dan keseriusan Malaysia berhubung isu pelarian Rohingya.

Pada lawatan itu, Zahid dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri  Bangladesh Sheikh Hasina selain bertemu Menteri Kebajikan Expatriat dan Pekerja Luar Negara Nurul Islam serta Menteri Luar Abul Hassan Mahmood Ali bagi menilai perkembangan hubungan dua hala sedia ada serta meneroka bidang kerjasama baharu yang saling memanfaatkan kedua-dua negara. – Bernama, 15 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen