Tiada lagi semangat Burhanuddin Helmy dalam jiwa PAS, kata Syed Husin


SM Amin

Burhanuddin menerajui PAS pada tahun 1956 dan digambarkan sebagai seorang yang bersifat nasionalis radikal dan pemikir Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 September, 2019.

SEMANGAT nasionalisme dan progresif yang diangkat bekas presiden PAS, Burhanuddin Helmy kini tiada lagi dalam parti itu, kata Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Syed Husin Ali.

Syed Husin berkata, PAS ketika ini mengamalkan politik Islam yang sempit terutamanya dalam sikap mereka terhadap bukan Islam dan bukan Melayu.

“Perjuangan PAS sekarang dan dahulu zaman Burhanuddin lain. Masa Burhanuddin ada progresif, ada sifat nasionalisme yang agresif dan mengiktiraf kedudukan keadilan sosial bagi golongan lain, agama lain, kaum lain dan sebagainya,

“Sekarang berbeza sama sekali. Sifat nasionalisme PAS kurang, sifat agamanya terlalu sempit, sifat anti kepada golongan bukan Islam dan bukan Melayu kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Memperingati 50 Tahun Dr. Burhanuddin Helmy di Universiti Malaya hari ini.

Burhanuddin menerajui PAS pada tahun 1956 dan digambarkan sebagai seorang yang bersifat nasionalis radikal dan pemikir Islam.

Namun kerjasama PAS dengan Umno dalam Muafakat Nasional telah menguatkan lagi sifat kemelayuan dan agama parti Islam tersebar itu, kata Syed Husin.

Walaupun PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai oleh bukan Melayu Islam, Syed Husin mendakwa dewan itu tidak mempunyai suara yang sewajarnya.

“Tetapi tidak ada suara. Ada anggota dewan ini sudah tidak masuk sangat (dalam perjuangan PAS).

“Dengan apa yang berlaku, tindakan dan pemikiran sekarang ini, banyak (ahli) sudah keluar,” ujarnya.

Sasaran utama PAS membentuk kerjasama itu dengan Umno adalah untuk menguasai kerusi majoriti Melayu dalam PRU15. – 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen