PBB hantar misi cari maklumat ke Venezuela


Ketua UNHRC Michelle Bachelet melawat Venezuela pada Jun untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Presiden Nicolas Maduro, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin pembangkang Juan Guaido. – Gambar AFP, 28 September, 2019.

MAJLIS Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Jumaat mengundi untuk menghantar misi mencari maklumat ke Venezuela bagi menyiasat mengenai pelanggaran hak asasi manusia, lapor agensi berita Anadolu. 

Usul itu dicadangkan Kumpulan Lima - satu blok dari 12 negara Amerika Latin - diluluskan Majlis dengan majoriti mudah. Sebanyak 19 ahli menyokong, tujuh tidak bersetuju manakala 21 lagi berkecuali. 

Menyelar “penindasan dan penganiayaan yang berleluasa atas alasan politik” di Venezuela, resolusi tersebut mengatakan belakunya kekerasan “melampau” ketika langkah keselamatan dibuat terhadap protes aman dan penunjuk perasaan dikatakan telah ditahan sewenang-wenangnya.

Ketua UNHRC Michelle Bachelet melawat Venezuela pada Jun untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Presiden Nicolas Maduro, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin pembangkang Juan Guaido.

Sepasukan dua pegawai PBB akan berada di negara itu dengan mandat dipersetujui untuk memberikan pandangan dan membantu aspek teknikal selain memantau situasi hak asasi manusia.

Ekonomi Venezuela semakin merudum berikutan penurunan harga minyak mentah dunia dan eksport utama negara. Kekacauan politik berterusan turut menjejaskan kestabilan kewangan negara.

Sejak awal tahun ini, Venezuela terlibat dalam krisis politik akibat perebutan kuasa antara Maduro dan Guaido. 

Hampir 5,000 orang meninggalkan Venezuela setiap hari akibat kirisis itu dan menurut PBB sejak 2015, dianggarkan tiga juta rakyat telah meninggalkan negara ini. – Bernama, 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen