Remaja Kanada rakam pengakuan pembunuhan sebelum bunuh diri


Dua sahabat, Kam McLeod dan Bryer Schmegelsky mengaku dalam video mereka membunuh dua lelaki dan seorang wanita. – Gambar AFP, 28 September, 2019.

DUA remaja yang diburu kerana membunuh seorang lelaki Austalia, teman wanitanya dan seorang pakar botani, mengaku melakukan jenayah itu dalam satu rakaman video, kata polis Kanada semalam.

Polis Diraja Kanada (RCMP) bagaimanapun berkata motif pembunuhan masih belum dapat dipastikan.

“Pembunuhan nampak seperti dilakukan secara rambang tanpa diketahui motifnya,” kata Asisten Komisioner RCMP Kevin Hackett pada sidang media semalam.

“Dalam rakaman video itu, suspek mengaku melakukan ketiga-tiga pembunuhan, mereka tidak menyesal atas perbuatan mereka atau kenapa membunuh.”

Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky, 18, yang berkawan sejak kecil diburu polis sejak lebih tiga minggu yang lalu. Polis menjejaki mereka bermula dari British Columbia ke wilayah Manitoba.

Pihak berkuasa menemui mayat suspek dalam semak bersama dua laras senapang dan sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakam enam video pengakuan.

Menurut RCMP, dalam salah satu rakaman Schmegelsky mengaku mereka membunuh ketiga-tiga mangsa.

Mangsa yang dibunuh ialah warga Australia, Lucas Fowler; warga Amerika Chynna Deese dan pakar botani tempatan, Leonard Dyck. 

Fowler dan Deese yang sedang melawat Kanada dibunuh dekat taman Liard River Hot Springs di British Columbia pada pertengahan Julai. 

Dyk pula dibunuh selepas dirompak suspek di Dease Lake. 

Polis masih belum mendedahkan video tersebut.  – AFP, 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen