Kerana 'Joker', polis AS tingkat tahap keselamatan


Pengkritik berkata filem "Joker" boleh mencetus terhadap keganasan. – Gambar AFP, 28 September, 2019.

POLIS Los Angeles semalam berkata akan meningkatkan tahap keselamatan di pawagam sempena tayangan filem “Joker”, atas kebimbangan mengenai unsur ganas dalam filem tersebut.

Jurucakap polis berkata walaupun tiada ancaman yang diterima di Los Angeles, mereka akan meningkatkan kawalan keselamatan pada tayangan filem itu yang dijadualkan pada minggu depan.

“Orang ramai boleh keluar dan bersantai di hujung minggu di bandar ini, tetapi penduduk Los Angeles perlu berwaspada dan sentiasa peka pada persekitaran anda,” kata jurucakap polis, Rosie Cervantes.

“Beritahu jika anda nampak apa-apa (yang mencurigakan).”

Filem terbitan Warner Bros itu memaparkan watak utama seorang penjenayah kejam, Joker yang dilakonkan oleh Joaquin Phoenix. Pengkritik berkata filem tersebut boleh mencetus keganasan.

Joker ditayangkan tujuh tahun selepas kejadian pembunuhan di Aurora, Colorado di mana seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang semasa tayangan filem The Dark Knight Rises.

Seramai 12 orang terbunuh dalam kejadian itu. – AFP, 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen