TUNJUK perasaan baru berlaku di seluruh Indonesia semalam selepas Presiden Joko Widodo mengarahkan siasatan ke atas kematian dua pelajar akibat kecederaan semasa menyertai demonstrasi.
Seorang pelajar jurusan kejuruteraan maut akibat kecederaan di kepala semasa menyertai tunjuk perasaan di bandar Kendari di Sulawesi pada Khamis, menurut pengarah hospital tempatan.
Punca sebenar kematian pelajar itu masih belum dapat disahkan.
Polis Indonesia semalam mengesahkan kematian mangsa pertama, juga seorang pelajar ini di Kendari akibat cedera ditembak, tetapi menegaskan anggotanya tidak dilengkapi dengan peluru hidup.
Presiden Joko Widodo atau Jokowi berkata beliau telah mengarahkan kematian dua pelajar itu disiasat.
Jokowi dijadual mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua pada 20 Oktober ini.
“Sejak dari mula saya sudah mengarahkan ketua polis dan pegawainya jangan bertindak keterlaluan,” katanya semalam.
Polis semalam melepaskan gas pemedih mata ketika tunjuk perasaan di Makasar di Sulawesi dan Medan di Sumatera.
Tunjuk perasaan di seluruh Indonesia tercetus susulan cadangan penggubalan kanun keseksaan jenayah yang merangkumi beberapa perkara termasuk hukuman bagi hubungan seks bebas, perkahwinan sesama jantina, menghina presiden, perbuatan mengugurkan kandungan tanpa sebab perubatan atau merogol. – AFP, 28 September, 2019.
Komen