SERAMAI 2,989 individu ditahan dalam serbuan yang dilakukan ke atas rumah urut dan pusat hiburan sekitar ibu negara, dari 1 Januari lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata daripada jumlah itu, seramai 814 individu merupakan warga tempatan manakala 2,175 adalah warga asing iaitu tangkapan tertinggi melibatkan negara Vietnam (523 orang), Thailand (496 orang), China (277), Indonesia (314 orang) dan Bangladesh (211 orang).
Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 942 serbuan premis dibuat dan daripada jumlah itu, sebanyak 215 pusat hiburan telah diambil tindakan serta dikenakan saman mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jumlah rampasan dianggar bernilai RM327,603.
Bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan gejala tidak bermoral, Mazlan berkata dalam tempoh sama, polis telah membuat 99 serbuan dan membuat pemeriksaan ke atas 3,899 individu.
“Sebanyak 847 tangkapan dibuat atas kesalahan membekalkan, memiliki dadah atau didapati positif ujian saringan air kencing. Sepanjang operasi, polis membuat rampasan dadah antaranya ganja, ketamin, pil khayal, dan syabu bernilai anggaran RM59,506,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, 21 parti persendirian turut diserbu dan mendapati hanya 39 orang yang diperiksa daripada 416, melibatkan remaja bawah umur manakala 229 didapati positif dadah.
“Polis akan terus membuat operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi memastikan masalah sosial dan penyalahgunaan dadah di Kuala Lumpur akan terus dibanteras.
Mazlan turut memberi amaran terhadap pemilik kondominium supaya tidak bersekongkol dalam penganjuran parti persendirian atau berdepan dengan tindakan tegas.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama, 27 September, 2019.
Komen