Aktivis lapor polis kes doa Kristian di acara sekolah mubaligh


Zaim Ibrahim

Mukhsin Abdul Latif (kanan) menuntut polis menyiasat acara dirancang pentadbir sekolah di Georgetown, Pulau Pinang, yang didakwanya sebagai usaha berdakwah kepada orang Islam. – Gambar Facebook, 27 September, 2019.

SEORANG aktivis politik membuat laporan polis ke atas pentadbiran sebuah sekolah mubaligh kerana mengadakan bacaan doa Kristian dalam satu majlis penyampaian anugerah.

Muhsin Abdul Latheef, 35, menuntut polis menyiasat acara dirancang pentadbir sekolah di Georgetown, Pulau Pinang, yang didakwanya sebagai usaha berdakwah kepada orang Islam.

“Walupun itu adalah sekolah mubaligh, sekolah itu terima dana daripada kerajaan pusat. Dan kerajaan pusat berpaksikan perlembagaan yang menyatakan Islam agama persekutuan.

“Sekolah juga di bawah Kementerian Pendidikan jadi diwajibkan baca doa umat Islam dahulu kemudian baca doa agama lain,” dakwanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Katanya, beliau pada mulanya menerima maklumat mengenai rancangan bacaan doa tersebut daripada ibu bapa pelajar sekolah rendah berkenaan yang mengadu kepadanya melalui Facebook.

Tambahnya, beliau mendapat maklumat itu sejak seminggu lalu daripada ibu bapa tersebut yang mendapati aturcara program tersebut menyertakan upacara bacaan doa Kristian.

“Kemudian tentatif (program) itu ditukar kepada doa kerohanian, dan pada hari ini saya lihat tiada langsung bacaan doa tertera dalam tentatif program,” tambahnya.

Beliau yang mengikuti program jam 8.30 pagi itu juga berkata, nama Jesus tidak disebut dalam bacaan doa tersebut tetapi penganut menyebut “My Lord” yang membawa maksud Tuhanku.

Mukhsin kemudiannya membuat satu laporan polis pada jam 11.30 malam di Balai Polis Jalan Patani, Georgetown.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa pihak lembaga dan guru besar sekolah itu tidak membenarkan bacaan doa umat Islam dan hanya membenarkan doa untuk agama Kristian.

Beliau juga mendakwa guru besar tersebut memberi alasan langkah itu disebabkan sekolah berkenaan adalah sekolah Kristian.

“Dengan tindakan tersebut, pihak lembaga sekolah dan guru besar ingin berdakwah kepada orang Islam yang hadir di majlis rasmi sekolah dan secara tidak lansung, majlis rasmi kerajaan,” dakwanya.

Laporan itu turut menyebut penganut Islam lebih ramai di acara tersebut – 347 pelajar dan 14 guru berbanding penganut bukan Islam yang terdiri daripada 161 pelajar dan 14 guru.

Acara berkenaan diadakan di sebuah kolej swasta, kata Mukhsin dalam laporannya.

The Malaysian Insight sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan sekolah dan Kementerian Pendidikan.

Difahamkan kementerian sudahpun maklum mengenai isu dan laporan polis tersebut. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • In the 1950's and 60's classes in all missionary schools started with prayers - "Our Father" and "Hail Mary", every school day. Not one Malay / Muslim child converted to Christianity. STOP THIS NONSENSE OF RACISM. The police should act against him for.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan

  • Kepercayaan diri yang sangat rendah ...

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Sin Fook Choo · Ulasan