NGO seru pilih calon Muslim di Tanjung Piai


Mohd Farhan Darwis

57% pengundi di kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah pengundi Melayu.– Gambar Facebook, 28 September, 2019.

NGO pemerhati pilihan raya Gerakan Pengundi Sedar (GPS) akan berkempen memujuk pengundi Melayu mengundi calon Muslim di PRK Parlimen Tanjung Piai.

Pengarah GPS Assiddiq Fauzan memberitahu The Malaysian Insight, kempen Vote Muslim First (VMF) itu dilancarkan kerana majoriti pemilih di Tanjung Piai terdiri daripada pengundi Melayu.

“Kalau majoriti Cina seperti di Serdang tidak logik kita (kempen) VMF. Tetapi di Tanjung Piai 57% majoriti pengundi Melayu, secara automatik ini kerusi majoriti Melayu,” katanya.

Tambahnya, jika kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang menawarkan calon Muslim, mereka akan membantu pemilih untuk memilih calon terbaik.

“Kalau Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) letakkan calon Muslim, kita akan bantu rakyat buat pilihan mana yang terbaik, kita akan lihat latar belakang mereka melalui aspek integriti, penipuan, rasuah dan sebagainya.

“Kita akan kempen untuk rakyat undi calon yang kita rasa paling layak,” katanya mengulas kempen yang diilhamkan daripada nama kempen utamakan produk Muslim Buy Muslim First (BMF).

Ketika ditanya, beliau bagaimanapun mengakui akan memihak kepada pembangkang kerana mendakwa hak Melayu dan Bumiputera semakin terhakis bawah pentadbiran PH.

“Untuk pengundian, kita akan berpihak, mungkin PRK kali ini kita berpendirian calon pembangkang, akan datang kita mungkin akan pilih calon kerajaan,” katanya.

Assiddiq juga menafikan kempen berkenaan bersifat perkauman dengan alasan usaha menegakkan hak Melayu, Islam, dan Bumiputera sememangnya termaktub dalam Perlembagaan.

“Tidak boleh kata GPS rasis. VMF ini hak majoriti bangsa majoriti yang bertepatan dengan demokrasi, dan memang ada dalam Perlembagaan. Tidak ada isu rasis dan sebagainya.

“GPS adalah badan pemerhati bebas, matlamat kita untuk menegakkan Perlembagaan. Untuk keadaan sekarang kita lihat Islam, Melayu dan, Bumiputera seakan diketepikan,” katanya.

Tambahnya, sasaran utama dalam kempen itu adalah golongan muda yang akan ditemui semasa kaji selidik terhadap pemilih dan juga forum untuk mendidik pengundi Tanjung Piai.

“Dalam seminggu dua ini kita akan keluarkan hasil kajian kita,” katanya yang menambah seramai 90 kakitangan NGO itu akan ditugaskan di Tanjung Piai sepanjang tempoh PRK.

PAS yang bekerjasama dengan Umno melalui gabungan Muafakat Nasional sudahpun menyatakan kesediaan menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi BN, tidak kira calon Muslim atau tidak.

Ia secara tradisinya diwakili MCA, sehinggalah calon parti itu tewas dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Kerusi itu kosong apabila penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia minggu lalu.

Rafik yang juga timbalan ketua Bersatu Tanjung Piai menewaskan veteran MCA di kerusi itu Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti tipis 524 undi.

Rafik memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee yang memperolehi 20,731 undi. Calon PAS Nordin Othman memperolehi 2,962 undi. – 28 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen