Kapal tangki ditahan Iran kini di perairan antarabangsa


Kapal tangki Stena Impero yang ditahan pada 19 Julai lalu dibebaskan oleh pihak berkuasa Iran hari ini.– Gambar EPA, 27 September, 2019.

KAPAL tangki Stena Impero yang ditahan di pelabuhan Bandar Abbas oleh pihak berkuasa Iran sejak lebih dua bulan lalu, kini dibebaskan dan tiba di perairan antarabangsa, kata pemiliknya.

“Ia tiba di perairan antarabangsa kira-kira 15 minit lalu,” kata CEO Stena Hulk, Erik Hanell yang memiliki kapal berkenaan kepada AFP pada pukul 12 tengah hari Jumaat.

“Kapal itu kini menuju ke Dubai.”

Rabu lalu, jurucakap kementerian luar Iran, Abbas Mousavi berkata, pembebasan kapal berkenaan dibuat selepas mengikut prosedur yang dikoordinasikan oleh kementerian luar, kehakiman Iran dan pihak berkuasa pelabuhan dan maritim.

Hanell turut meluahkan kelegaan selepas kapal berkenaan tiba di perairan antarabangsa dan berkata keutaamaan adalah kepada anak kapal.

“Apabila sampai di Dubai, pertama sekali yang akan dilakukan adalah menjaga anak kapal dan kemudian memastikan kapal itu dalam keadaan sedia untuk beroperasi,” katanya kepada AFP.

Pengawal Revolusi Iran merampas kapal berkenaan di Selat Hormus pada 19 Julai lalu selepas anggota pasukan berkenaan mengepung kapal itu dan menaiki deknya.

Ia disita dan dibawa ke pelabuhan di Bandar Abbas kerana didakwa gagal memberi maklum balas berhubung panggilan kecemasan dan menutup transpondernya selepas melanggar bot nelayan.

Tujuh daripada 23 anak kapalnya dibebaskan pada 4 September lalu. – AFP, 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen