Belajar dari Habibie: Hikmah buat anak muda Malaysia 


DUNIA baru sahaja dikejutkan dengan pemergian sosok pemimpin yang signifikan dalam pembangunan agenda reformasi di Indonesia. Ramai maklum bahawa BJ Habibie mantan presiden Indonesia tetapi tidak ramai yang menyorot sejarahnya sebelum diangkat sebagai pemimpin negara.

Hanya dalam tempoh singkat 17 bulan sebagai individu nombor satu sebuah negara yang mempunyai sejarah dan ekonomi budaya yang luas di rantau ini, Habibie mengajar kita tentang sisi penting kehidupan, terutama kepada belia-belia di Malaysia.

Yang pertama, kebaktian kepada negara harus dimulakan tidak kira dalam posisi apa pun kita berada. Walaupun beliau melanjutkan pengajian di luar negara, beliau masih lagi aktif membangun ideologi dan semangat patriotik dengan menggerakkan Persatuan Pelajar Indonesia di Jerman.

Kedua, budaya beliau membaca dan menulis adalah sesuatu yang unik dan perlu diteladani. Bayangkan, walaupun dengan kesibukan seorang pemimpin negara, beliau masih mampu memperuntukkan hampir lima hingga tujuh jam sehari untuk membaca dan menulis. Nah, ini wajib belia serap dan komited untuk membina rangka pemikiran yang tinggi; percaya dengan daya fikir dan daya kontribusi adalah seiring.

Saya berpeluang berkunjung ke kediaman beliau pada tahun 2015. Secara jujurnya, sebagai anak muda yang masih miskin keinginan dalam berasosiasi dengan buku, kunjungan ke perpustakaan Habibie membuatkan saya mahu untuk turut memiliki perpustakaan seperti beliau.

Adapun wujud nota pesimis yang menyatakan budaya membeli buku rakyat Malaysia masih belum selari dengan budaya membaca buku, saya fikir kita masih perlu meraikan budaya positif ini dalam keinginan belia untuk mengumpul bahan rujukan.

Mengubah dengan polisi, memerintah dengan kasih sayang

Ketika banyak negara mengalami kemelut ekonomi kini, suka untuk saya kongsikan kaedah pentadbiran yang dibawa oleh Habibie.

Ketika beliau menakhoda Persatuan Pelajar Indonesia di Aachen, walaupun berlaku sedikit perbezaan pendapat dengan pimpinan yang lain, tetap juga beliau hadir program yang dianjurkan atas nama setiakawan dan semangat sebagai satu pasukan.

Ini tercatit dalam buku Rudy: Kisah Masa Muda Sang Visioner bagaimana konflik yang berlaku ketika diusulkan idea seminar pembangunan dan tuduhan serta dakwaan bahawa Habibie pengkhianat negara. Beliau membuktikan yang beliau bukan sahaja berani tampil dengan program yang bervisi, tetapi juga merealisasikan visi di tanah air sendiri.

Tuntas, saya ingin belia di Malaysia agar berani turut menyemangati semangat yang sama.

Harus wujud kumpulan yang dominan dalam keterangkuman idea dan menyemarakkan kebebasan bersuara demi kebaikan belia dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Ini wajar digandingkan dengan tanggungjawab untuk memelihara keharmonian dan menjunjung tinggi aspirasi negara.

Pesan saya kepada pemimpin-pemimpin negara juga, jangan bunuh ‘Habibie-Habibie Malaysia’ yang berbunyi sedikit melawan arus tetapi hakikatnya cinta mereka kepada bangsa dan tanah air ini akan membuahkan bakti dan jasa yang sangat bernilai. – 27 September Ogos, 2019.

* Atiqah Syairah Shaharuddin merupakan Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen