PERSEDIAAN mengadakan pilihan raya presiden Afghanistan yang dijadual pada Sabtu kini di fasa akhir, di tengah-tengah kebimbangan mengenai serangan Taliban, lapor agensi berita Anadolu.
Kempen pilihan raya selama 28 hari berakhir tengah malam Rabu bagi memberi laluan pilihan raya dijalankan di bawah peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC).
Di bawah perlembagaan, calon presiden memerlukan lebih 50 peratus undi untuk diisytiharkan sebagai pemenang.
Andai tiada calon yang memperoleh majoriti mudah, pusingan kedua dan terakhir antara dua calon teratas akan diadakan pada 23 November.
Keputusan awal dijangka diumum pada 19 Oktober manakala keputusan akhir pada 7 November - sebanyak 15 calon akan bertanding untuk kerusi utama.
Antara calon yang bertanding presiden Mohammad Ashraf Ghani, ketua eksekutif perkongsian kuasa Abdullah Abdullah dan bekas pemimpin Mujahidin Gulbuddin Hekmatyar.
Seramai 9.7 juta pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya yang keempat diadakan berikutan kejatuhan rejim Taliban pada 2001.
Sekitar 3.3 juta pengundi wanita mewakili 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Pada Khamis, IEC mengumumkan pihaknya bersedia melaksanakan tugas berat itu di tengah-tengah kebimbangan berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu. – Bernama, 27 September, 2019.
Komen