BADAN mahasiswa seluruh Indonesia tidak mahu mengadakan pertemuan secara tertutup dengan Presiden Joko Widodo susulan protes mereka di jalan raya membantah beberapa tindakan pentadbiran pemerintah.
Mereka sebaliknya mahu pertemuan itu diadakan secara terbuka dan disiarkan secara langsung melalui televisyen agar dapat dilihat oleh rakyat, lapor media di Indonesia.
Jurucakap Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) Muhammad Nurdiyansyah berkata mereka sudah belajar daripada pengalaman lalu berurusan dengan pentadbiran Jokowi.
“Kami belajar dari proses ini dan tidak ingin menjadi alat permainan penguasa yang sedang krisis legitimasi publik, sehingga akhirnya melupakan substansi terkait beberapa tuntutan aksi yang diajukan,” katanya, seperti dipetik CNN Indonesia.
Jelas Nurdiyansyah, pertemuan itu pun bukanlah untuk menyuarakan tuntutan mahasiswa kerana suara mereka sudah tegas diluahkan dalam tunjuk perasaan dan di media.
Pertemuan itu sebaliknya mahu mendengar sikap presiden terhadap tuntutan mereka, katanya.
Semalam, Jokowi berkata beliau mengundang wakil mahasiswa untuk bertemu di Istana Presiden di Jakarta, hari ini.
Menurut Jokowi, beliau menghargai suara mahasiswa yang mereka laungkan di jalan raya di beberapa kota di serata Indonesia kerana ia bahagian daripada demokrasi, tetapi jangan sampai merosakkan kemudahan awam.
Mahasiswa di seluruh Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya sejak Isnin lalu membantah beberapa pindaan undang-undang yang dianggap melanggar semangat Reformasi 1998.
Tunjuk perasaan itu berakhir tegang di beberapa tempat apabila pihak berkuasa cuba menyuraikan mereka. Dua mahasiswa di Sulawesi Tenggara meninggal dunia selepas berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis.
Sementara itu, Jokowi semalam menegaskan beliau komited mempertahankan demokrasi di Indonesia, termasuk menjaga kebebasan media.
Beliau menyampaikan komitmennya itu dalam pertemuan dengan tokoh masyarat terdiri daripada ahli akademik serta seniman dan budayawan di Istana Merdeka.
Jokowi dijadual mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua pada 20 Oktober ini. – 27 September, 2019.
Komen