Semak semula siasatan kematian Adib


HARI ini dilaporkan Mahkamah Koroner mendapati kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca daripada perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

Menurut Koroner Rofiah Mohamad, dapatan dibuat selepas meneliti keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan ke mahkamah semasa prosiding inkues yang telah berlangsung.

Prosiding inkues kematian Adib bermula pada 11 Februari yang lalu, dan berjalan selama 41 hari. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 eksibit dikemukakan.

Melalui inkues ini, segala teori dan kebarangkalian tentang punca kematian Adib dibentangkan dan dipertimbangkan.

Sebelum keputusan ini, ada pihak yang mempersoalkan penubuhan inkues tersebut, contohnya:

a) Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada Mei tahun ini dilaporkan melontar persoalan sama ada peguam negara tidak percaya pada hasil siasatan polis kerana memohon inkues tersebut; dan

b) Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob juga pada Mei tahun ini dilaporkan menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menggantikan inkues yang masih berlangsung pada ketika itu.

Jelas dakwaan yang dibuat untuk mewujudkan persepsi negatif prosiding inkues itu adalah meleset sekali dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini.

Ia menunjukkan langkah mengadakan inkues adalah keputusan yang tepat dan membolehkan suatu dapatan dibuat melalui tribunal kehakiman yang bebas dan prosiding yang terbuka.

Tiada perkara yang boleh disembunyikan atau dipendam dalam inkues yang telus.

Ia juga membuktikan sekiranya sistem kehakiman negara adalah bebas dan diyakini umum, tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Saya menggesa pihak polis menyemak semula siasatan dengan menyeluruh mengenai kematian Adib dengan keterangan, bukti dan dapatan Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues.

Adib gugur sebagai seorang wira semasa melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba.

Saya percaya semua pihak mahu melihat pelaku yang menyebabkan kematiannya di bawa ke muda pengadilan. – 27 September, 2019.

 * Syahredzan Johan, peguam dan setiausaha politik ahli Parlimen Iskandar Puteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen