12 maut, 805 kes penyakit berkaitan vape di AS


Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS bagaimanapun tidak dapat mengenalpasti bahan sebenar yang menyebabkan punca penyakit berkaitan vape. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

DUA belas orang maut akibat penyakit berkaitan vape di Amerika Syarikat (AS), manakala 805 kes kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dilaporkan, kata pihak berkuasa kesihatan semalam.

Angka terkini itu dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). 

CDC bagaimanapun tidak dapat mengenalpasti bahan sebenar yang menyebabkan punca penyakit berkaitan vape dan e-rokok.

Menurut CDC lagi, kebanyakan pesakit melaporkan sejarah penggunaan produk e-rokok mengandungi THC, iaitu bahan psikoaktif utama dalam kanabis.

Peningkatan dalam kes penyakit paru-paru dikatakan berkaitan dengan katrij isian semula vape yang tercemar yang dibeli di pasaran gelap.

CDC berkata 12 kematian berlaku di 10 negeri termasuk California dan Florida, manakala 805 kes yang disahkan dan berkemungkinan akibat penggunaan vape dilaporkan di 46 negeri dan Kepulauan Virgin.

Kematian pertama dilaporkan pada Ogos. – AFP, 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen