Keluarga Adib syukur dengan keputusan koroner


Chan Kok Leong Ravin Palanisamy

Muhammad Asraf Mohd Kassim, abang kepada Muhammad Adib tersenyum ketika keluar dari dewan mahkamah selepas koroner menyampai keputusannya berhubung inkues kematian anggota bomba itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 September, 2019.

ABANG kepada Muhammad Adib Mohd Kassim berpuas hati dengan keputusan koroner hari ini yang memutuskan anggota bomba itu meninggal dunia kerana “perbuatan jenayah”.

“Saya sangat puas hati dengan keputusan mahkamah,” kata Muhammad Asraf kepada wartawan di luar kompleks mahkamah Shah Alam selepas keputusan dibacakan hari ini.

“Ibu bapa saya sudah tahu keputusan mahkamah ini. Mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sekarang,” katanya.

Ketika ditanya adakah keluarganya akan memfailkan saman sivil, peguam Syazlin Mansor yang mewakili mereka berkata:”Tiada saman sivil.”

Selepas 41 hari inkues diadakan, Koroner Roziah Mohamad mengumumkan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah dan kesan di dadanya bukan berpunca daripada kemalangan.

Adib, 24, meninggal dunia pada 17 Disember kerana mengalami kecederaan ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ, pada 27 November.

Inkues itu bermula pada 11 Februari untuk menentukan punca kematiannya.

Sementara itu kesatuan sekerja dari Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata mereka turut berpuas hati dengan keputusan itu.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana memberikan keputusan ini untuk keluarga Adib, yang berpihak kepada kami,” kata Presiden Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia Zainal Abidin Nong Chik kepada wartawan hari ini. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen