Terserah pada polis untuk tindakan selanjutnya, kata Zuraida


Chan Kok Leong Ravin Palanisamy

KINI terserah kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya susulan keputusan inkues menentukan kematian anggota bomba Muhammd Adib Mohd Kassim diumumkan hari ini, kata Zuraida Kamaruddin.

“Saya berpuas hati kerana pihak kami dan juga semua anggota bomba telah menggunakan seluas-luasnya saluran untuk memastikan bahawa inkues Adib ini diadili dengan sebaik-baiknya,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang ditemui di kompleks mahkamah Shah Alam hari ini.

“Alhamdulillah, kita dapat meminta proses inkues dan inkues telah berjalan dalam 41 hari dan hari ini koroner telah membuat keputusan merumuskan kematian Adib adalah akibat tindakan jenayah. Jadi, saya serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya,” kata Zuraida. 

Koroner Rofiah Mohamad hari ini merumuskan bahawa kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali.

Dalam menentukan keputusannya, Rofiah berkata mahkamah menerima teori saksi ke-29, pakar patalogi forensik Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa perusuh menendang pintu van bomba yang mengena dada Adib, sebelum mereka menariknya keluar.

“Saya harap rakyat Malaysia menerima keputusan ini. Jangan dipolitikkan dan jangan bawa isu agama dan kaum dalam hal ini. Isu ini ialah mengenai rakyat Malaysia yang meninggal dunia ketika bertugas,” katanya.

Pada masa yang sama, Zuraida juga berkata beliau akan menemui keluarga Adib hari ini.

“Ayahnya masih di Kedah. Dia dalam perjalanan ke sini tetapi saya dan berjumpa dengan makcik dan abang Adib tadi, dan saya akan jumpa ayah Adib malam ini bila dia tiba di Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 malam nanti.”

Zuraida berkata keluarga Adib bersyukur dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini dan berkata keadilan telah ditegakkan. – 27 September, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen