Pelajar maut rusuhan bantah undang-undang baharu di Indonesia


Penunjuk perasaan membaling batu ke arah bangunan Parlimen tempatan di Kendari, Sulawesi ketika demonstrasi semalam. – Gambar EPA, 27 September, 2019.

SEORANG pelajar maut semasa ribuan penunjuk perasaan berkumpul di jalan raya di seluruh negara di Indonesia bagi membantah undang-undang baharu termasuk kanun keseksaan jenayah dan rasuah.

Pihak berkuasa berkata mangsa berusia 21 tahun itu dikejarkan ke hospital akibat cedera di dada dan disahkan meninggal dunia di hospital di Kendari, Sulawesi.

Tetapi polis menafikan mereka terbabit dalam insiden itu, walaupun netizen mendakwa pelajar kejuruteraan itu ditembak.

“Terdapat pelajar yang cedera dalam kalangan orang ramai itu. Dia dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang berusaha menyelamatkannya.

“Dia cedera di dada kanan, namun saya tidak boleh mengesahkan jenis kecederaannya.

“Lebih pula, tiada anggota kami membawa peluru hidup atau peluru getah,” kata jurucakap polis wilayah tenggara, Harry Golden Hart kepada Metro TV.

Tunjuk perasaan tercetus apabila orang ramai membantah rang undang-undang membabitkan puluhan perubahan undang-undang termasuk memperuntukkan hukuman kesalahan zina dan menghalang penjualan pil pencegah kehamilan dan menghina presiden. – AFP, 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen