AS desak India longgarkan sekatan di Kashmir


Perdana Menteri India Narendra Modi pada Ogos lalu menarik semula status autonomi Jammu dan Kashmir, satu-satunya negeri majoriti Islam di India. – Gambar EPA, 27 September, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) mendesak New Delhi segera melonggarkan sekatan di Kashmir, kata pegawai kanan AS semalam selepas Presiden Donald Trump bertemu kedua-dua pemimpin India dan Pakistan.

“Kami berharap tindakan segera dapat diambil, menarik balik sekatan dan membebaskan mereka yang ditahan,” kata pegawai kanan Jabatan Negara AS bagi Asia Selatan Alice Wells kepada wartawan.

Beliau berkata Trump sedia menjadi orang tengah jika diminta kedua-dua pihak, walaupun tahu India menolak sebarang campur tangan luar.

“AS bimbang dengan penahanan meluas, termasuk ahli politik dan pemimpin perniagaan, dan sekatan ke atas penduduk Jammu dan Kashmir.

“Kami tidak sabar untuk melihat kerajaan India menyambung semula pembabitan politik dengan pemimpin tempatan dan menjadualkan pilihan raya seperti dijanjikan pada masa terdekat,” katanya.

Perdana Menteri India Narendra Modi pada Ogos lalu menarik semula status autonomi Jammu dan Kashmir, satu-satunya negeri majoriti Islam di India, memenuhi matlamat utama pergerakan nasionalis Hindu pimpinannya.

Pihak berkuasa India menahan ramai pemimpin politik dan menyekat telefon bimbit dan perkhidmatan Internet untuk rakyat biasa di wilayah Himalaya itu.

Wells berkata AS menimbulkan kebimbangan mengenai Kashmir pada paras tertinggi tanpa menyebut sama ada Trump membangkitkan isu Kashmir dalam pertemuan dengan Modi. – AFP, 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen