PRESIDEN Palestin Mahmud Abbas, memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beliau akan membatalkan semua perjanjian ditandatangani dengan Israel jika Zionis itu meneruskan rancangan diumumkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk meluaskan penguasaan ke wilayah penting di Tebing Barat.
Netanyahu yang cuba membentuk kerajaan baharu susulan kebuntuan pilihan raya, berjanji sebelum proses pengundian beliau akan mengiktiraf kedaulatan Islam di Lembah Jordan dan utara Laut Mati yang merangkumi satu pertiga daripada Tebing Barat.
Janji itu dikecam ramai, termasuk oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, yang memberi amaran ia melanggar undang-undang antarabangsa.
“Reaksi kami, jika kerajaan Israel meneruskan rancangan itu, adalah membatalkan semua perjanjian ditandatangani dengan kerajaan penceroboh dan sebarang syarat di dalamnya.
“Hak kami untuk mempertahankan hak dengan apa cara sekalipun, tanpa mengira akibat, dan kekal komited dengan undang-undang antarabangsa dan memerangi keganasan,” kata Abbas.
Abbas berjanji perkara sama pada Julai lalu, tetapi tidak mengotakannya.
Pada awal 1990-an, Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ketika itu diketuai Yasser Arafat, menandatangani beberapa perjanjian damai dengan tajaan Amerika Syarikat.
Perjanjian itu sepatutnya untuk tempoh peralihan lima tahun, tetapi perjanjian jangka lebih lama terbukti sukar dicapai dan intifadah kedua berlaku pada 2000. – AFP, 27 September, 2019.
Komen