SEKURANG-KURANGNYA seorang kanak-kanak Pakistan terbunuh dan lima orang awam termasuk empat kanak-kanak cedera selepas tentera India melepaskan tembakan di Kashmir, Pakistan pada Sabtu lalu.
Insiden tersebut berlaku dalam sektor Nikial di Line of Control (LoC), sempadan yang membahagikan Kashmir dengan Pakistan dan India.
“Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ...mati syahid manakala lima orang awam termasuk empat kanak-kanak cedera akibat tembakan dilepaskan pasukan India yang mensasarkan penduduk awam,” kata ketua tentera Pakistan dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, seorang pegawai pentadbiran awam tempatan berkata dua kanak-kanak terbunuh dalam kejadian tembakan antara sempadan itu.
“Dua kanak-kanak terbunuh dalam tembakan oleh pasukan India di sektor Nikial,” kata penolong pesuruhjaya Waleed Anwar.
“Tembakan tidak menentu masih berterusan,” katanya.
Kashmir terbahagi antara India dan Pakistan sejak berakhirnya penjajahan British pada 1947 tetapi kedua-duanya menuntut penuh wilayah itu.
Selama beberapa dekad kumpulan pemberontak menentang tentera India yang dikerahkan di wilayah itu, menuntut kemerdekaan atau penggabungan bekas kerajaan Himalaya dengan Pakistan.
Kedua-dua pihak tentera sering mensasarkan antara satu sama lain di sepanjang LoC yang membahagikan wilayah itu. – AFP, 15 Oktober, 2017.
Komen