PAS tidak akan bertanding pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai, yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini, kerana ia kerusi tradisi Barisan Nasional (BN), kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata, parti Islam itu sedia membantu sehabis baik untuk memenangkan calon BN, walaupun sekiranya pucuk pimpinan parti mengambil keputusan meletakkan calon bukan Islam.
“Secara prinsipnya itu kerusi BN, kita tunggu mesyuarat dan mereka akan maklum kita, mungkin dalam minggu depan. Kita tunggu maklumat BN.
“Kerusi itu umumnya BN lebih relevan bertanding. Siapa pun calon daripada BN itu kita serah pada mereka,” kata Tuan Ibrahim, kepada The Malaysian Insight.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia minggu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid yang juga timbalan ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai menewaskan penyandang Wee Jeck Seng (BN-MCA) dengan majoriti 524 undi.
Beliau memperolehi 21,255 undi manakala Wee pula 20,731 undi, dan calon PAS Nordin Othman mendapat 2,962 undi.

Tanjung Piai adalah kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk majoriti 57% daripada keseluruhan pengundi, sementara Cina 42% dan pengundi India sebanyak 1%.
DAP menyerahkan kerusi tradisi parti itu untuk ditandingi Bersatu pada PRU14.
Sejak PRU12, DAP mula meletakkan calon Melayu di kerusi berkenaan, bermula dengan Ahmad Ton pada 2008 dan Mahdzir Ibrahim pada PRU13 lima tahun kemudian.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein berharap BN akan meletakkan calon Melayu bertanding di Tanjung Piai bagi memudahkan kempen mereka.
“Pada dasarnya, kita tiada masalah siapa pun bertanding, walaupun calon MCA kita akan turun kempen. Cuma kita lebih harap kalau boleh letak calon Melayu, Islam yang bertanding.
“Masyarakat majoriti pun di situ Melayu. Kalau pilihan raya umum tidak fokus sangat sama ada calon Muslim atau bukan Muslim… (calon Muslim) memudahkan kita kerja kalau calon Melayu Islam,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
Abdullah menjelaskan, kerusi Parlimen Tanjung Piai amat penting bukan saja untuk mengukur sentimen politik di Johor tetapi juga penyatuan ummah antara PAS dan Umno yang dimeterai melalui Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.
“Ini satu yang sangat mencabar kerana ia menjadi perhatian bersama. Menang atau kalah ia menjadi kayu pengukur kebangkitan ummah dan juga gabungan PAS dan Umno,” katanya. – 27 September, 2019.
Komen