Demo tuntut Tommy Thomas letak jawatan, kata NGO


SM Amin

Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim menjadi isu panas negara dan keputusan inkuesnya akan diumum hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

PERHIMPUNAN bagi menyokong keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim esok juga akan menuntut Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan, kata NGO yang terlibat.

Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) Abu Bakar Mohamed berkata mereka akan menuntut demikian atas tindak-tanduk Thomas yang dianggap cuba mempengaruhi keputusan inkuiri.

“Kita berhimpun hanya untuk menuntut keadilan untuk Adib. Kedua, kita desak supaya Tommy Thomas meletak jawatan kerana cuba mempengaruhi keputusan inkues,” katanya.

Dakwaan itu berhubung satu afidavit dikemukakan Thomas dalam inkues terbabit yang mendakwa kematian Adib bukan kerana dipukul.

Mahkamah seterusnya membenarkan permohonan keluarga allahyarham untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas Thomas atas dakwaan dalam afidavit berkenaan.

Mengulas lanjut Abu Bakar juga berkata perhimpunan itu mendesak pemimpin kerajaan dan pembangkang agar tidak memainkan sentimen agama dan kaum berkaitan kes tersebut.

“Ini amat merbahaya kepada negara. Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Kita hendak hidup aman dan tenteram,” ujar Abu Bakar.

Satu lagi NGO, Jaringan Melayu Malaysia berkata perhimpunan itu juga sebagai amaran kepada kerajaan agar tidak memperalatkan undang-undang untuk kepentingan mana-mana pihak.

Beliau turut mengaitkan dakwaan bahawa terdapat usaha mempengaruhi keputusan penghakiman tersebut.

“Kita menyeru orang ramai untuk hadir sebagai tanda sokongan terhadap usaha untuk mendapatkan keadilan kepada keluarga Adib.

“Kita tidak mahu perundangan di negara kita ini tidak diperalatkan oleh kumpulan tertentu. Itu mesej yang kita ingin sampaikan kepada kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Aminuddin Yahaya berharap keputusan hari ini akan dapat memberi keadilan bagi pihak yang teraniaya dalam kes kematian anggota bomba itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

Perhimpunan aman di Mahkamah Shah Alam hari ini dianjurkan NGO Gerakan Pembela Ummah.

Pengerusinya Aminuddin Yahaya berharap keputusan hari ini akan dapat memberi keadilan bagi pihak yang teraniaya dalam kes kematian anggota bomba itu.

Ummah juga menganjurkan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan untuk memohon agar keputusan inkues itu memihak kepada mangsa dan keluarganya, kata Aminuddin.

Prosiding inkuiri di hadapan Koroner Rofiah Mohamad yang bermula pada 11 Februari lalu mengambil masa sehingga 41 hari dengan 30 saksi serta 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, anggota bomba dari Balai Subang Jaya cedera parah ketika bertugas dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ pada 26 November lalu.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari dirawat.– 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen