FACEBOOK hari ini memperkenalkan peraturan ketat bagi iklan politik di Singapura untuk mencegah penyebaran maklumar palsu menjelang pilihan raya republik itu.
Facebook mengetatkan peraturan di seluruh dunia termasuk India dan Amerika Syarikat (AS) selepas dikritik digunakan untuk memanipulasi undian.
Mereka yang mahu menerbitkan iklan mengenai pilihan raya dan politik di Facebook atau Instagram di Singapura perlu terlebih dahulu mengesahkan identiti dan lokasi. Selain itu mereka juga perlu mendedahkan siapa bertanggungjawab di atas iklan itu, kata Facebook.
Pengarah dasar awam Facebook, Katie Harbath berkata pengiklan perlu memberi maklumat seperti nombor telefon, e-mel atau laman web.
Peraturan baharu itu juga akan dikenakan terhadap mereka yang mahu menerbitkan iklan mengenai topik yang banyak dibahaskan di Facebook iaitu isu sosial seperti imigresen dan jenayah.
“Untuk membolehkan wacana yang sihat di Singapura, kami mengambil langkah untuk mengurangkan penyebaran maklumat palsu, membantu mengekang campur tangan asing dalam pilihan raya, dan menjadikan pengiklanan lebih telus dan asli,” kata Harbath. – AFP, 26 September, 2019.
Komen