Serangan loji minyak: Arab Saudi tunggu siasatan antarabangsa


Arab Saudi menunggu keputusan hasil siasatan berhubung serangan ke atas fasiliti minyaknya pada 14 September lalu sebelum pertimbangkan langkah seterusnya, kata Menteri Hal Ehwal Luar Adel Al-Jubeir. – Gambar AFP, 26 September, 2019.

SEORANG diplomat kanan Arab Saudi hari ini berkata kerajaan negara itu masih menunggu keputusan hasil siasatan berhubung serangan ke atas fasiliti minyaknya pada 14 September lalu, sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya, lapor agensi berita Xinhua.

“Berhubung situasi selepas serangan baru-baru ini…kami sedang berunding dengan rakan dan sekutu mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Adel Al-Jubeir kepada pemberita di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) di New York.

Katanya, Arab Saudi masih menunggu keputusan siasatan antarabangsa.

Siasatan awal menunjukkan terdapat pengunaan senjata Iran dalam serangan berkenaan, justeru Arab Saudi beranggapan negara itu bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut, kata Al-Jubeir.

“Kami sedang menyiasat dengan serius dan berunding dengan banyak pihak. Kami sangat teliti dan akan menyediakan pilihan yang pelbagai dan kami akan memilih tindakan yang sesuai,” katanya.

Amerika Syarikat turut menyalahkan Iran berhubung serangan itu walaupun pemberontak Houthi di Yaman mengaku bertanggungjawab. – Bernama, 26 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen