Yazit Ahmad, pemain dram Search, meninggal dunia


Pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad meninggal dunia tengah hari ini selepas mengalami pendarahan dalam kepala sejak dua hari lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 26 September, 2019.

PEMAIN dram kumpulan rock Search, Yazit Ahmad meninggal dunia tengah hari ini selepas mengalami pendarahan dalam kepala sejak dua hari lalu.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dicabut mesin bantuan hayat.

“Abang Yazit Search, Sang Gendang, telah menghembus nafas terakhirnya jam 11.53 pagi sebentar tadi di sisi keluarga dan sahabat andai beliau,” kata maklumat yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.

Adiknya Zahid Ahmad, yang juga seorang pemain dram terkemuka, sebelum itu memaklumkan di Facebook sistem sokongan hayat pada Yazit akan dihentikan hari ini.

Yazit dimasukkan ke hospital sejak awal pagi Selasa selepas mengadu sesak nafas lebih kurang 3.30 pagi.

Menurut anak perempuannya, Shafiqa Nurlis, jantung ayahnya sempat terhenti semasa dalam perjalanan dibawa ke HKL dan terus diberikan bantuan pernafasan sebaik tiba.

Berita kematian Yazit, yang kemudian dinafikan, sempat tular di media sosial awal pagi ini selepas beliau dilaporkan kritikal sejak malam tadi.

Yazit sebelum ini diketahui mengalami masalah buah pinggang yang kronik sehingga membatasi pergerakannya sejak beberapa tahun lalu. Beliau sakit buah pinggang lebih 10 tahun lalu.

Beliau bagaimanapun sempat bersama Search membuat persembahan dalam Konsert Fenomena 30 Tahun pada 2011 dan di Istana Budaya pada 2014.

Awal bulan ini, Yazit dimasukkan ke HKL juga selepas mengadu sesak nafas dan disahkan terkena jangkitan kuman pada paru-paru.

Masalah kesihatan Yazit sebelum ini mencetuskan krisis dalam kumpulan Search sehingga membawa kepada episod balas membalas kenyataan sesama mereka di media.

Penyanyi Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy yang kini berada di Jakarta atas urusan kerja malam tadi memuat naik tiga keping foto lama mereka semasa era gemilang muzik rock di Malaysia pada dekad 1980-an, diiringi ucapan takziah.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (انا لله وانا اليه راجعون)

A post shared by Suhaimi A Rahman (@aku.amysearch) on

 

Dalam satu kenyataan dari Jakarta, Amy menyampaikan belasungkawa dan ucap takziah di atas pemergian Yazit.

“Saya dengan rendah hati menyampaikan salam takziah di atas kepulangan Yazit ke Rahmatullah hari ini.

“Semoga segala amalannya sepanjang di dunia diperhitungkan dan roh beliau dicucuri rahmat,” katanya.

Beliau juga meminta maaf kerana tidak dapat menziarah dan menghadiri majlis pengebumian kerana terikat dengan tugas sebagai pengulas dalam program televisyen Indosiar di Jakarta, yang bersiaran langsung malam ini.

Jenazah Yazit akan dibawa ke Masjid Salahuddin Al-Ayubi di Taman Melati, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak di Taman Selasih.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sementara itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Yazit atas kehilangan mereka.

Menerusi posting di media sosialnya, Anwar berkata beliau sempat melawat Yazit yang sedang sakit di rumahnya di Wangsa Maju pada Ramadan lalu. – 26 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen