GEMPA bumi kuat berukuran 6.5 menggegarkan kepulauan Maluku yang terpencil di timur Indonesia hari ini, kata pakar gempa bumi Amerika Syarikat, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gegaran berlaku kira-kira 37km di timur laut Ambon di Maluku pada 8.45 pagi tadi waktu tempatan, pada kedalaman 29 kilometer, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Tiada laporan kematian atau kerosakan besar di kawasan itu, yang digegarkan dengan beberapa gempa bumi besar sebelum ini.
“Saya sedang tidur dengan keluarga apabila rumah tiba-tiba mula bergoyang.
“Gegaran amat kuasa. Kami berlari keluar dari rumah dan melihat jiran juga berbuat demikian.
“Semua orang panik,” kata seorang wartawan AFP di Ambon.
Indonesia kerap berdepan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi kerana kedudukannya dalam Lingkaran Api Pasifik.
Tahun lalu, gempa bumi berskala 7.5 dan tsunami melanda Palu di Sulawesi yang menyebabkan lebih 4,300 maut atau hilang.
Pada 26 Disember, gempa berukuran 9.1 menggegarkan pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di rantau itu, termasuk 170,000 di Indonesia. – AFP, 26 September, 2019.
Komen