Isu kos sara hidup masih cabaran utama Pakatan


Chan Kok Leong

Sebelum pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan telah meningkatkan keyakinan pengundi untuk Malaysia yang lebih baik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September Ogos, 2019.

SELEPAS lebih 500 hari mentadbir kerajaan, Pakatan Harapan masih berdepan cabaran dalam mengatasi isu kos sara hidup, kata pemerhati politik yang turut menyifatkan prestasi kerajaan baharu setakat ini masih bercampur.

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan PH telah membuka ruang demokrasi dengan memperkenalkan dasar seperti mengurangkan had umur mengundi, kebebasan media dan pembaharuan parlimen.

Sebelum pilihan raya umum lalu, Pakatan telah meningkatkan keyakinan pengundi untuk Malaysia yang lebih baik, kata Tunku Mohar.

“Oleh kerana ini dan euforia demokrasi pasca PRU14, pakatan pemerintah juga dituduh terlalu perlahan dalam memperkenalkan pembaharuan yang lebih bermakna,” katanya.

“Barangkali perubahan yang ketara yang dilakukan pakatan ialah mengheret pemimpin dengan tuduhan rasuah untuk berdepan perbicaraan.”

Tunku Mohar bagaimanapun berkata, cubaan kerajaan baru untuk menyelesaikan isu kos sara hidup masih belum memberikan impak.

“Pakatan mendakwa telah menunaikan lebih separuh daripada janji pilihan raya, namun bagi majoriti, kesannya masih belum dirasai sepenuhnya,”  kata Tunku Mohar merujuk kepada pengwujudan peluang pekerjaan, kualiti pekerjaan lebih baik dan kadar gaji lebih tinggi.

Pengurus Penyelidikan Merdeka Centre, Tan Seng Keat membeirtahu The Malaysian Insight bahawa jangkaan pengundi terlalu tinggi apabila Pakatan mengambil alih kerajaan pada Mei, 2018.

Pengundi mahukan yang lebih baik berbanding kerajaan terdahulu, tambahnya.

“Malah, kaum lain mengharapkan sesuatu yang berbeza. Contohnya, pandangan pengundi Melayu mengenai apa yang menjadikan Malaysia lebih baik adalah berbeza dengan orang Cina.

“Orang Melayu mahukan peluang pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan lebih banyak peluang perniagaan manakala orang Cina mahukan peluang yang sama rata dan pembaharuan pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Namun menurut Tan, ini mungkin sukar bagi kerajaan baru kerana ia terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mempelajari bagaimana menguruskan birokrasi persekutuan ketika berdepan dengan isu legasi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional.

“Mereka perlu mencari keseimbangan bagaimana untuk adil kepada semua pihak ketika menguruskan isu hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Dalam tempoh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga tidak membantu. Dan ini menyebabkan pelabur lebih berhati-hati,” tambahnya.

Menurut kajian Merdeka Centre yang dijalankan Jun lalu, kedudukan Pakatan stabil pada 41% keseluruhannya selepas mendapat 75% ketika mengambil alih kerajaan pada Mei, 2018.

Masih ada harapan

Dengan berbaki tiga setengah tahun sebelum pilihan raya umum berikutnya, masih ada harapan untuk Pakatan, kata pengurus penyelidikan Insititut Darul Ehsan Kamarul Baharin Zahid.

Merujuk kepada kajian persepsi yang dijalankan pada Jun, Kamarul berkata, secara keseluruhannya sentimen terhadap Pakatan masih tidak berubah secara drastik.

“Pakatan menerima 49% undi popular pada PRU14 dan menurut kajian yang dijalankan pada Jun, tahap sokongan mreka hanya menurun pada satu peratus. Sokongan terhadap Barisan Nasional kekal pada 32% manakala PAS menurun daripada 19% kepada 17%, kata Kamarul.

Beliau menganggap bahawa keadaan itu tidak begitu menakutkan kepada Pakatan walaupun terdapat suara perbezaan pendapat yang sangat kuat.

“Ini kerana ruang demokrasi yang terbuka dan pengguna media sosial tidak tak takut untuk bersuara selepas kejatuhan BN.”

Beliau berkata, walaupun 53% daripada mereka yang ditemu bual menyatakan ketidakpuasan hati terhadap ekonomi selepas Pakatan mengambil alih pentadbiran, 52% lagi yakin Pakatan mampu memulihkan ekonomi dalam tempoh 5 tahun.

“Secara keseluruhannya, pengundi percaya kerajaan perlu diberikan masa secukupnya untuk membuat pembaharuan dalam negara dan meningkatkan ekonomi,” kata Kamarul.

Walaupun retorik perkauman dan agama sangat kuat ketika ini, keputusan kajian itu menunjukkan ekonmi masih lagi menjadi keutamaan bagi semua pihak, tambahnya.

“Tidak seperti pakatan sebelum ini, tiada parti yang dominan dalam Pakatan dan ia mampu menguruskan jangkaan masyarakat yang berbeza.

“Sekiranya kerajaan baru menterjemahkan Perkongsian Kemakmuran dengan baik, ketegangan kaum dapat dihapuskan. Rakyat hanya bimbang bila keadaan ekonomi teruk.,” kata Kamarul.

Kajian yang dijalankan pada Jun melibatkan 1,597 pengundi di Semenanjung Malaysia, ditunjukkan kepada The Malaysian Insight.

Dari sudut positif, kaji selidik kualitatif IDE mengatakan pengundi positif bahawa ekonomi pulih walaupun secara perlahan-lahan dan percaya harga telah stabil dan rasuah semakin berkurang. Dari segi negatif, mereka tidak berpuas hati dengan penyusutan Ringgit, beban Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pendapatan peneroka Felda yang berkurang dan pemotongan subsidi.

Melangkah ke hadapan, Tunku Mohar berkata cabaran utama Pakatan akan datang daripada bagaimana ia menguruskan ekonomi dan bagaimana ia menguruskan politik identiti.

“Kekurangan dasar yang menitikberatkan pengukuhan kedudukan orang Melayu dan Islam digunakan oleh pembangkang Umno dan PAS untuk merapatkan orang Melayu bagi menentang pakatan pemerintah.

“Kegagalan untuk meratifikasi ICERD dan penarikan diri dari Statute Rome hanyalah dua contoh untuk menunjukkan bahawa segmen pengundi Melayu dapat digerakkan melalui politik identiti,” kata Tunku Mohar. – 26 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen