Lebih 2 juta haiwan mati dalam kebakaran hutan di Bolivia 


Kebakaran hutan di Bolivia masih belum dapat dikawal.– Gambar EPA, 26 September, 2019.

LEBIH dua juta hidupan liar, termasuk jaguar, puma dan llama, mati daam kebakaran hutan yang memusnahkan sebahagian besar hutan di Bolivia, kata pakar alam sekitar.

Kebakaran tercetus di kawasan savana tropika Chiquitania di timur negara berkenaan.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan ahli biologi Chiquitania dan kami anggaran lebih 2.3 juta hidupan liar hilang di kawasan perlindungan,” kata Profesor Sandra Quiroga dari Universiti Santa Cruz kepada AFP.

Kucing liar Amerika Latin dan juga haiwan lain seperti puma, jaguar dan juga rusa dan llama—serta haiwan kecil lain seperti tenggiling, badger, cicak, tapir dan tikus—menjadi mangsa kebakaran hutan, menurut pakat biologi yang menyiasat kadar kerosakan daripada bencana berkenaan.

Media tempatan menyiarkan imej bangkai haiwan yang rentung di kawasan hutan terbakar dan burung turut meninggalkan zon kebakaran itu.

Kebakaran terbabit memusnahkan kawasan lebih empat juta hektar (10 juta ekar) sejak Ogos lalu dan merebak ke lebih 100 hektar lagi kawasan di hutan simpan Tucavaca di timur Santa Cruz.

“Keadaan hutan hangus sama sekali. Ia tidak kaan kembali kepada asal,” kata Quiroga.

Kawasan timur Santa Cruz merupakan yang paling teruk terjejas berbanding sembilan kawasan lain dalam kebakaran yang mula tercetus pada Mei lalu.

Pada Ogos, pihak berkuasa Bolivia mengerahkan pesawat pemadam kebakaran, Supertanker Boeing 747 dan pesawat Rusia IIyushin, dan juga helikopter, 5,000 anggota bomba, tentera dan polis namun kebakaran masih belum dapat dikawal.

Aktivis alam sekitar menyalahkan undang-undang di bawah Presiden Evo Morales yang membenarkan pembakaran hutan bagi meningkatkan pengeluaran pertanian. – AFP, 26 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen