KAPAL selam buatan sendiri yang membawa lebih lima tan kokain berjaya dipintas di Lautan Pasifik di perairan Amerika Selatan, kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat.
Kapal selam sepanjang 39 kaki (12 meter) berkenaan sebelum itu dikesan oleh pemantauan maritim, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Pengawal Pantai memasuki kapal selam berkenaan pada 1 September di perairan antarabangsa dengan bantuan Tentera Laut Colombia, menurut kenyataan itu.
Dalam kapal selam berkenaan, Pengawal Pantai menemukan 5.4 tan kokain, dengan nilai pasaran lebih AS$165 juta.
Empat suspek penyeludup dadah ditahan ketika serbuan.
Selain pesawat dan bot laju, kartel dadah Amerika Selatan, terutamanya dari Colombia menggunakan kapal selam untuk mengangkut dadah ke Mexico dan Amerika Syarikat.
Julai lalu, Pengawal Pantai AS mengumumkan rampasan 13 tan kokain melalui beberapa serbuan yang dibuat di Amerika Latin. – AFP, 26 September, 2019.
Komen